Tok Pa akan mampu perkasa Bersatu, PH

Tok Pa akan mampu perkasa Bersatu, PH

Akramsyah Muammar Ubaidah

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu menyakini dengan penyertaan Ahli Parlimen Jeli dalam gabungan Pakatan Harapan akan mampu memperkasakan pergerakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri Kelantan.

Akramsyah Muammar Ubaidah Sanusi berkata, Datuk Seri Mustapa Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Pa yang mengumumkan penyertaannya dalam Bersatu semalam, akan dapat dimanfaatkan, baik di peringkat kerajaan dan semestinya di peringkat parti.

“Kita mengalu-alukan kehadiran Tok Pa sebagai Ahli Parlimen ke-14 PPBM, bukan sekadar kerana nama baik serta ketokohannya tetapi juga pengalaman beliau yang begitu mendalam dalam ilmu ekonomi, pentadbiran dan juga politik.

“Saya yakin, keupayaan Tok Pa yang tidak asing lagi pasti akan dimanfaatkan, baik di peringkat kerajaan dan semestinya di peringkat parti.

“Di peringkat kerajaan, kepakaran beliau sebagai pakar ekonomi yang selesa baik di Kementerian Kewangan mahupun MITI, pasti mampu dimanfaatkan dalam penyelesaian hutang negara serta saingan menarik pelaburan asing, khususnya dalam bidang berteknologi tinggi.

“Di alam politik pula, beliau mampu memperkasakan pergerakan Bersatu di Kelantan, di mana beliau pernah hampir merampas negeri tersebut dari PAS sebagai mantan Ketua Perhubungan Negeri Umno. Saya yakin kepimpinan parti akan mengenal-pasti tempat terbaik bagi Tok Pa dalam parti yg kini sedang melaksanakan rombakan di beberapa peringkat,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Semalam bekas anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno itu mengisytiharkan dirinya menyertai Bersatu selepas nekad keluar dari parti itu pada 18 September lalu.

Pengumuman itu dibuat dalam sidang media di ibu pejabat Bersatu semalam dan Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad mengalu-alukan penyertaan Mustapa dan menyifatkan beliau layak untuk menyertai Bersatu.

Lebih 40 tahun berjuang dalam parti Tok Pa dipetik berkata, kepercayaannya terhakis dengan hala tuju Umno yang tidak lagi selari dengan prinsip politiknya apatah lagi parti itu kini sudah rosak kerana masalah integriti.