Malaysia Dateline

Tok Pa keluar Umno

Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan keluar daripada Umno selepas lebih 40 tahun berkhidmat untuk parti itu dalam satu kenyataan  malam tadi.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata, keputusan itu dibuat selepas merasakan hala tuju Umno pada masa ini tidak selari dengan prinsip politik yang menjadi pegangannya selama ini.

Katanya, Umno ketika ini tidak ada banyak usaha yang meyakinkan bahawa proses rejuvenasi parti telah bermula.

Berikut adalah kenyataan penuh mengenai peletakan jawatannya sebagai ahli Umno:

“Semenjak PRU14 melabuhkan tirai, seperti orang lain juga, saya telah membuat beberapa pemerhatian tentang landskap politik Malaysia, hala tuju Umno dan BN serta masa depan negara.

Berdasarkan kepada beberapa perkembangan mutakhir ini, saya berpandangan bahawa usaha-usaha ke arah memulihkan defisit kepercayaan dan imej parti semakin sukar.

Tidak ada tanda-tanda bahawa majoriti rakyat berbilang bangsa dan agama akan kembali meyakini perjuangan parti ini.

Untuk menjadi relevan dalam dinamika politik nasional hari ini, Umno selaku peneraju BN tidak boleh bergantung kepada sokongan orang-orang Melayu dan Bumiputera semata-mata.

Secara prinsipnya, pendirian politik saya adalah Umno harus menjadi sebuah parti yang inklusif, moderat dan berhaluan tengah. Umno mesti terus memperjuangkan kepentingan Bumiputera dan Islam, namun tanpa sesekali mengenepikan kepentingan kaum dan agama lain. Saya percaya bahawa inilah jalan terbaik dalam kerangka negara Malaysia yang majmuk

Namun pada pandangan saya, hala tuju yang diambil Umno pada masa ini tidak lagi selari dengan prinsip politik yang menjadi pegangan saya selama ini dan tidak ada banyak usaha yang meyakinkan bahawa proses rejuvenasi parti telah bermula.

Maka atas dasar inilah, setelah bermuhasabah dan memikirkan sedalamnya, saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai ahli Umno setelah lebih 40 tahun berkhidmat untuk parti ini.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada sahabat-sahabat dari Jeli, Kelantan dan seluruh negara yang banyak membantu sepanjang saya berkhidmat untuk Umno, dari kepimpinan parti sehinggalah akar umbi. Insya-ALLAH saya akan terus menyumbang buah fikiran ke arah membangunkan sebuah negara Malaysia yang terbilang.

Saya mendoakan agar negara kita akan terus aman, makmur dan disegani di peringkat antarabangsa. Semoga lembaran baharu Malaysia ini akan mewujudkan budaya politik lebih matang dan inklusif, di samping meletakkan tadbir urus serta integriti sebagai keutamaan. Sudah tiba masanya semua pihak tanpa mengira fahaman politik dapat mencari satu titik persamaan demi kepentingan rakyat. Kepada ALLAH SWT jua kita berserah.