Malaysia Dateline

Tok Pa mengaku langgar SOP, apa berlaku kes Annuar Musa

Setelah tular gambar beliau makan di sebuah cafe di Jeli, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapha Mohamed mengaku salah melanggar Operasi Prosedur Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh dan sedia dikenakan hukuman oleh polis.

Dalam satu kenyataan pejabat beliau, Mustapha yang lebih dikenali sebagai Tok Pa mengaku setelah gambar itu tular, Ketua Polis Daerah Jeli telah menghubungi beliau tengahari semalam.

Polis memaklumkan, kertas siasatan telah dibuka mengenai perkara itu.

“Beliau memohon maaf atas perlanggaran SOP ini dan menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk mengambil tindakan sewajarnya,” kata kenyataan pejabat beliau.

Pejabat Mustapha berkata, beliau telah ke cafe di Kampung kalai itu jam 5.30 petang Sabtu lepas untuk melihat bagaimana pemilik cafe itu meneruskan perniagaannya walaupun berdepan dengan PKP 3.0 menggunakan media sosial.

Sebelum ini, polis juga telah membuka kertas siasatan ke atas gambar Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa sedang makan ketika PKP yang tular.

Menurut satu kenyataan, kes itu telah diserahkan oleh polis kepada Pejabat Paguam Negara untuk tindakan.

Namun sehingga kini tidak diketahui apakah tindakan lanjut yang telah diambil ke atas kes itu.