Malaysia Dateline

Tokoh di belakang “Bendera Putih” mula panaskan kempen PH di Kelantan

Tokoh NGO yang memperkenalkan kempen “Naikkan bendera putih” untuk mereka yang memerlukan bantuan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu, Nik Faizah Nik Othman kini menjadi tumpuan dalam kempen Pakatan Harapan di Kelantan.

Program yang dianjurkan oleh beliau di Pantai Cahaya Bulan semalam mendapat sokongan ramai ketika sokongan kepada Pakatan Harapan masih sejuk di negeri yang dikawal oleh Pas sejak lebih 30 tahun lalu itu.

“Terima kasih warga Pengkalan Chepa hadir ke program Dikir Barat Segar Angin. Ini satu inisiatif Kak Jah membantu merancakkan peniagaan di Pantai Cahaya Bulan,” tulis Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Hazmi @ Jeming Hassan menerusi Facebook beliau.

Orang ramai memenuhi Pantai Cahaya Bulan bagi mengikuti program anjuran Nik Jah.

Nik Jah, Timbalan Ketua Awan Kelantan, disebut-sebut sebagai bakal calon Pakatan Harapan di Parlimen Pengkalan Chepa.

Jeming yang merupakan Ketua AMANAH Pengkalan Chepa mula memperkenalkan Nik Jah sebagai calon Pakatan Harapan di Pengkalan Chepa.

“Alhamdulillah…sambutan yang sangat-sangat mengejutkan. Hampir penuh pantai PCB dengan orang ramai yang datang menonton dikir barat sambil ambil angin bersama keluarga.

“Dikir barat wajar di angkat sebagai satu seni budaya Kelantan ke satu peringkat yang lebih tinggi.

“Ia boleh menjadi tarikan kepada pelancong yg datang ke Kelantan.

“Terima kasih warga Pengkalan Chepa,” tulis Nik Jah dalam Facebook beliau semalam selepas kejayaan program dikir barat itu.

Pada jam 11.28 pagi, 28 Jun 2021 lalu, Nik Faizah yang lebih dikenali Nik Jah itu menaikkan satu posting di Facebook beliau yang menggunakan nama ‘Jah’ meminta pihak yang dalam kesusahan dan terputus bekalan makanan agar menaikkan bendera putih di hadapan rumah mereka.

Pada asalnya ia bertujuan untuk memberitahu komuniti di sekelilingnya sahaja atas sifat beliau sebagai Penyelia Peduli Rakyat Tumpat, tanpa mengetahui ia akan tular dan kini ‘trending’ dalam masyarakat.

Nik Jah adalah aktivis masyarakat dan juga Timbalan Ketua Wanita AMANAH (AWAN) Kelantan itu menasihati mereka yang sedang susah ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh ini agar berbuat demikian bagi membolehkan masyarakat sekeliling tahu dan membantu mereka.