Tokoh pemimpin perlu bersih, jangan kurang ajar pada Tun Mahathir

Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mengingatkan untuk menjadi tokoh pemimpin perlu bersih dan kelihatan bersih dan tidak kurang ajar kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjayakan misi Selamatkan Malaysia.

Tokoh pemimpin perlu bersih, jangan kurang ajar pada Tun Mahathir

Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mengingatkan untuk menjadi tokoh pemimpin perlu bersih dan kelihatan bersih dan tidak kurang ajar kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjayakan misi Selamatkan Malaysia.

Beliau juga mengingatkan, dikalangan pendokong parti baharu mereka hanya menumpang populariti Tun Mahathir.

“Kita semua hanya menumpang populariti Tun Mahathir. Jadi penting untuk kita jadikan Tun Mahathir sebagai paksi rujukan utama. Pengalamannya terlalu luas.

“Ilmu politik Tan Sri Muhyiddin, ‘tahi kuku Tun M pun tak ada’! Kita mesti ikhlas dengan Tun Mahathir. Macam mana kita bercakap di hadapannya macam itu lah juga pendirian kita di belakangnya.

“Jangan depan manis belakang mencaci. Kalau nak selamat ikut arah tuju dan dasar Tun Mahathir. Insyaallah dengan izin Allah swt parti baharu akan jadi kuat.

“Pokok persoalan yang penting untuk menjadi tokoh pemimpin kita mesti bersih dan kelihatan bersih yang keduanya, kalau kita sedar pada hari ini kita hanya menumpang populariti Tun Mahathir untuk jayakan agenda serta misi Selamatkan Malaysia, kita jangan sama sekali kurang ajar dengan Tun Mahathir,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Khairuddin pada 5 Ogos lalu menyatakan pendiriannya tidak bercadang dan tidak berminat untuk menyertai parti baharu yang bakal dipimpin oleh bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Keputusan Khairuddin itu menimbulkan banyak tanda tanya kerana beliau adalah antara penggerak dalam Deklarasi Rakyat Selamatkan Malaysia bersama Dr. Mahathir sebelum ini dan ramai yang menjangka beliau antara individu yang akan terbabit secara lansung dalam  penubuhan parti baharu.

Beliau juga bercadang akan mengadakan sidang medianya semalam, untuk menjelaskan perkara tersebut, tetapi dibatalkan ekoran Dr Mahathir masih lagi berada di Institut Jantung Negara (IJN) kerana menjalani rawatan.

“Tunggu Tun Mahathir keluar hospital dulu…nak bincang dari hati ke hati dengan Tun Mahathir. Nanti saya cerita secara mendalam (sidang media),” ujarnya.

Elak meniru pemimpin dan parti Umno

Tan Sri Muhyiddin dan jawatankuasa penaja penubuhan parti baharu Bersatu ketika membuat permohonan pendaftaran parti di ROS pada 9 Ogos lalu.

Beliau juga berharap parti baharu, parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bakal dipimpin Muhyiddin itu kelak tidak bersifat ‘meniru’ amalan buruk Umno.

“Saya harap mereka jangan tiru sifat serta amalan buruk pemimpin Umno. Kita mesti belajar dari kesilapan Umno. Kalau kita hanya duplikasi parti Umno yang sudah tidak relevan saya yakin rakyat juga akan tolak parti baharu.

“Pemimpin-pemimpin parti baharu kena pegang utuh pada konsep musyawarah kerana parti bukan milik eksklusif seseorang individu,” katanya.

Muhyiddin pada 9 Ogos lalu sudahpun memohon pendaftaran parti Bersatu di Pentaftar Pertubuhan Sosial (RoS) di Putrajaya.

Ditanya adakah beliau berpendirian teguh tidak akan menyertai Bersatu, sebaliknya Khairuddin menegaskan, beliau menyokong penubuhan Bersatu walaupun tidak berada dalam jawatankuasa penaja atau menjadi ahli kelak.

“Saya hanya pengikut kerdil yang tidak memegang langsung tunggak untuk kuatkan parti baharu. Saya ada banyak peranan di luar. Tidak semestinya perlu menjadi ahli parti yang bakal dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin.

“Paksi pengorbanan saya hanyalah untuk Tun Mahathir. Kalau saya berkorban bantu Tun Mahathir maknanya, secara tidak langsung pun
saya membantu parti baharu. Tidak semestinya saya masuk jadi ahli parti baharu.

“Saya hanya penyokong setia fan kuat Tun Mahathir. Jadi apa pun tindakan saya tiada kesan langsung pada parti baharu.

“Macam-macam cara kita boleh bantu parti. Pangkat dan jawatan tidak penting langsung bagi saya. Selama ni pun saya berjuang seorang diri saja. Saya tak perlu platform politik.

“Kalau kita ikhlas untuk berjuang dalam apa kapasiti pun kita boleh berjuang. Apa yang penting saya berpegang pada prinsip perjuangan luhur yang diajar oleh Tun Mahathir yang pernah mentadbir 22 tahun di negara ini,” terangnya.