Malaysia Dateline

Tokoh ulama sedunia doakan Anwar Ibrahim terajui Malaysia

Pasca PRU 2013 – Pakatan Rakyat berada di ambang perpecahan angkara Tok Guru itu di Kota Damansara (salah satunya) di mana PKR hilang satu kerusi DUN yang sudah dimenangi disebabkan Tok Guru meletakkan “sahabat pada menantu beliau” sebagai calon ketiga berlawan dengan PKR – yang akhirnya memberi kemenangan percuma buat Umno di Selangor.

Tiada istilah lain menggambarkan tindakan Tok Guru itu – melainkan itulah “khianat”nya seorang “ulama politik Pas” pada rakan sekutunya.

Faktanya – Pengkhianatan ulung itulah menjadi bibit paling utama manifesto penceraian Pakatan Rakyat (PR) yang dimulakan ulama politik parti itu. Walau ianya dibantah oleh hampir semua AJK Pas dulu, dan ditegur oleh ahli yang amat malu dengan sifat dan keperibadian ketua mereka sendiri.

Dalam tempoh itulah, September 2013 saya hadir ke Multaqa Ulamak di Kedah. Pembentang utama hari itu menyatakan, demi menjaga “maruah parti” yang sedang dikecam oleh rakyat, maka Dewan Ulamak terus mencadangkan hubungan dengan PKR itu dikaji semula. Semudah itu cubaan menutup dosa sendiri!

Namun tidak sampai 24 jam – terus Tuan Guru Nik Aziz (yang agak uzur ketika itu) memberikan amaran tiada sebab untuk dikaji semula melainkan hendaklah difikirkan bagi kuatkan lagi kerjasama PR dgn membetulkan segala kesalahan atau kesilapan yang sudah berlaku. Semua terdiam dan akur dengan amaran Tok Guru itu.

Namun sekali lagi, Disember 2013 – Multaqa Ulamak kedua di KL yang saya turut hadir, pembentang utama at-Takiri selitkan di hujung kertas cadangan meminta Dewan Ulamak “hapuskan kerjasama politik (tahaaluf siyasi)” dengan PKR/DAP, tetapi cukuplah hanya digantikan dgn “ta’awun siyasi”, iaitu Pas hanya menjalinkan hubungan tidak rasmi tanpa keterikatan bersama PKR/DAP.

Tujuan Dewan Ulamak itu adalah, dengan Pas bebas daripada PKR/DAP ia akan membolehkan Pas bebas pula menjalin kerjasama dengan Umno atau sesiapa sahaja untuk “perkara kebaikan”, tanpa terikat dgn komitmen bersama PKR/DAP dalam PR. Itulah tujuannya.

Sekali lagi, TG Nik Aziz bangkit menolak idea yang disebut “celaka” itu, dan menyeru untuk mengeratkan kerjasama ketiga-tiga parti dengan lebih erat dan kukuh.

AlFadhil Ustaz Nik Omar, anak lelaki sulong TG Nik Aziz mengatakan “ayahanda Tok Guru bagi beliau dilihat begitu bersungguh menatang PR ini dengan penuh cermat dan sayang, bahkan lebih menyayanginya daripada keluarga sendiri” disebabkan sayangnya Tok Guru pada perpaduan untuk tujuan menolak kezaliman Umno/BN tersebut.

Namun, dalam segala perangkap yang berlaku – Umno adalah bangsa yang sungguh bijak melihat pergolakan dilakukan Dewan Ulamak yang dipimpin majoritinya oleh para bekas pelajar Mesir yang begitu muda dan tidak mempunyai latar belakang politik kepartian langsung.

Kedua, atas nama ulamak jugalah, setiap ucapan beberapa pimpinan bergelar ulamak itulah dijadikan rujukan utama para Dewan Pemuda parti yang memulakan kebangkitan, kononnya anak muda mempertahankan ulamak Pas.

Maka Mac 2014, Umno mengaturkan langkah pertama mereka. Jamil Khir bangkit di Parlimen terus menyatakan jika Pas ikhlas mahukan hudud, maka dipersilakan bentangkan hudud ke Parlimen untuk Umno sokong. Umno berjanji sokong dan Pas diminta meninggalkan langsung PKR/DAP yang dikatakan Umno sebagai membenci utama syariah Islam di Malaysia.

Itulah permulaan segalanya!

Itulah “batu loncatan” sebenar (hudud) dan rasmi untuk Tok Guru dan beberapa pemimpin tertentu mula bersekedudukan dengan Umno dalam kegelapan yang cuba ditutup dari pengetahuan AJK lain, apatah lagi ahli.

Bangga dengan kejayaan perangkap itu, dalam pertemuan bersama NGO Islam di Kota Bharu untuk sokongan hudud pada Mei 2015, Jamil Khir membuat pendedahan – sejak Mac 2014 hingga Mei 2015, sebanyak lebih lima kali Tok Guru, Jamil Khir dan beberapa pemikir Umno/Pas bertemu secara rahsia dengan Najib atas alasan survival politik Melayu Islam yg dilaksanakan melalui agenda hudud (yang dijenamakan selepas itu sebagai RUU355) oleh Pas.

Rentetan daripada bantahan ahli dan AJK Pas sendirilah, satu peritiwa yang cukup bersejarah berlaku pada September 2014, iaitu Tok Guru sanggup memaki-hamun depan perwakilan di Muktamar Johor dengan istilah “barua broker dan bodoh” – sebagai merujuk mereka yang cuba menggagalkan usaha kerjasama dengan Umno yang sedang beliau usahakan dalam diam itu.

Syeikh Dr ‘Ali Mahyuddin Qarrah Daghi merupakan Setiauasaha Kesatuan Ulamak Muslimin Dunia juga pakar ekonomi yang kerap dijemput Bank Negara Malaysia.

Kegagalan kedua

Ketika kemelut itulah, segala berita tersebut sebenarnya sampai kepada Ketua Kesatuan Ulamak Islam Sedunia (Ittihad Ulamak / KUIS), Syeikh Prof. Dr Yusuf Qaradhawy yang menghubungi Anwar Ibrahim bertanyakan kedudukan perkara tersebut.

Syeikh juga berhubung dengan wakil Pas dalam KUIS iaitu alFadhil Ustaz Ahmad Awang dan Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin tentang usaha yang dilakukan demi menyelamatkan kerjasama politik itu.

Asbab utama Qaradhawy menzahirkan kerisauan itu adalah kerana Syeikh sendiri terlibat dalam pembentukan kerjasama Pas/DAP/PKN pada tahun 1999 dahulu, iaitu melalui usaha AlMarhum Fadzil Noor mengadakan pertemuan bersejarah 13 Ulamak Dunia bertemu rombongan Pas di Leicester (UK) untuk penubuhan Barisan Alternatif (BA).

Qaradhawy begitu risau jika terjadinya kegagalan kedua – disebabkan sejarah kegagalan pertama telah berlaku sebaik Ustaz Fadzil meninggal dan kepimpinan diambil-alih oleh Tok Guru pada 2002.

Semua akur perpecahan pertama itu berlaku disebabkan itu “Doktrin Hudud dan Negara Islam” yg dibentangkan oleh Tok Guru sebaik kewafatan Ustaz Fadzil tersebut.

Maka untuk tujuan itu, dan juga sebaik mengetahui Anwar pula bakal dipenjarakan dalam masa terdekat, Qaradhawy bertindak menghantar wakil rasmi iaitu Syeikh Dr Ali Mahyuddin Qarrah Daghi, Setiausaha Kesatuan Ulamak SeDunia untuk bertemu sendiri Tok Guru dan juga Anwar bagi memperbaiki hubungan yang rosak disebabkan hudud itu.

Berlakulah perancangan khas di KL pada Disember 2014 untuk Syeikh QarrahDaghi bertemu Tok Guru demi membincangkan isu kerjasama politik itu.

Saya terlibat dalam urusan pertemuan itu selaku Setiausaha Lajnah Antarbangsa (Pemuda) bersama beberapa yang lain.

Tapi tanpa disangka, pertemuan yang sudah dirancang itu akhirnya terpaksa dibatalkan atas makluman oleh menantu Tok Guru yang menyebut “huwa fissafar” (Tok Guru dalam perjalanan ke tempat lain), dan pertemuan itu akhirnya gagal!

Saya, Dr Syed Azman, alFadzil Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin dan Ustaz Ahmad Awang sungguh terkejut dengan alasan pembatalan itu. Kerana kami amat maklum sebenarnya Tok Guru bukannya bermusafir ke mana-mana pada hari itu.

Sebaliknya, Tok Guru berada di pejabat beliau di Jalan Raja Laut, tetapi tidak bersedia untuk bertemu Syeikh. Saya yakin ada pihak yang berasa tidak selesa untuk wakil Qaradhwi bertemu Tok Guru bagi tujuan “suluh” (pendamaian) atau apa jua perbincangan melibatkan Anwar tersebut.

Syeikh QarrahDaghi hanya menyatakan tiada paksaan jika Tok Guru tidak bersedia untuk bertemu. Maka, seterusnya berlakulah hanya pertemuan kedua dengan Anwar Ibrahim di rumah beliau di Segambut, yang dihadiri hampir 200 jemputan.

Syeikh QarrahDaghi memberikan ucapan yang antaranya menyatakan dengan tegas harapan Qaradhawy untuk ummah di Malaysia mesti bersama mendoakan kerjasama politik itu untuk diselamatkan, demi sebuah masa depan yang terbaik untuk Malaysia dan dunia Islam keseluruhannya.

Syeikh mengajak semua yang hadir untuk mendoakan Anwar yang akan melalui hukuman penjara oleh Najib dalam masa terdekat itu, dan mengharapkan Anwar bermunajat selama menghadapi tuduhan tersebut.

Syeikh mensyarahkan petikan Surah Yusuf (ayat 33) yg mengisahkan kesabaran Nabi Yusuf yang melalui ujian penjara;

قَالَ رَبِّ السِّجْنُ أَحَبُّ إِلَيَّ مِمَّا يَدْعُونَنِي إِلَيْهِ ۖ وَإِلَّا تَصْرِفْ عَنِّي كَيْدَهُنَّ أَصْبُ إِلَيْهِنَّ وَأَكُن مِّنَ الْجَاهِلِينَ

“Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya”.

Selain menitipkan salam, Syeikh juga menyatakan tegas bahawa Qaradhawy dan seluruh ulamak di seluruh dunia Islam selain berdukacita, mereka berdoa agar Anwar bersabar dan diberikan kesempatan memimpin Malaysia dan seluruh umat Islam dunia satu ketika kelak.

Setiap ucapan malam itu diterjemahkan sepenuhnya oleh alFadhil Ustaz Fawwaz Fadzil, iaitu anak kandung Ustaz Fadzil Noor yang merupakan sahabat karib Anwar Ibrahim sendiri.

Selesai makan malam, Syeikh pulang dengan menaiki kenderaan Ustaz Fawwaz (kereta baharu beliau warna merah). Dan ketika mahu memasuki kereta itulah sekali lagi Syeikh memeluk erat Anwar Ibrahim, meletak tangan di atas bahu untuk tempoh beberapa minit seraya berkata untuk bersabar dengan ujian yang sedang datang itu dengan kalimat mulia “fasabran Jamila” diungkapkan Syeikh berkali-kali.

Syeikh QarrahDaghi meletak tangan di atas bahu Anwar menasihatinya untuk bersabar dengan ujian dialami.

Malam itu, setiap detik ucapan serta kata-kata penuh semangat dan ukhuwwah itu saya abadikan sama ada dalam bentuk rakaman bergambar atau video, termasuklah beberapa keping kenangan saya bersama Syeikh sendiri.

Dipendekkan cerita yang panjang – dua bulan selepas itu Anwar diangkut Najib ke Penjara Sungai Buluh. Dan selang dua hari selepas Anwar ditangkap itu, AlMarhum TG Nik Aziz Nik Mat pula wafat meninggalkan kita semua hinggalah hari ini ke alam baqa’ sana.

Ujian besar serentak

Ummah dan dunia terdiam dengan dua ujian besar serentak tersebut. Permata dan mutiara sebenar kerjasama politik Pakatan Rakyat yang menjadi harapan ummah di Malaysia dan ulamak di seluruh dunia hilang daripada radar “tahaaluf siyasi” Pakatan Rakyat itu.

Saya ringkaskan lagi, berlakulah apa yang berlaku selepas itu – 6 Jun 2015 Tok Guru yang menguasai penuh Pas sejak kewafatan TG Nik Aziz itu dengan penuh ‘veto’nya melakukan satu lagi pengkhianatan paling besar apabila mengarahkan usul ulamak untuk memutuskan hubungan dengan DAP (bukan PKR) dan Pakatan Rakyat, akhirnya terbubarlah dengan paksa, sekalipun dibantah hampir keseluruhan perwakilan Muktamar terakhir yang saya hadiri itu.

Itulah penutupnya – pengkhianatan Kota Damasara akhirnya diakhiri dgn pengkhianatan Kuala Selangor yang mengorbankan tahaluf siyasi yang diasaskan oleh Ustaz Fadzil Noor bersama Syeikh Qaradhawi bersama 13 tokoh kepimpinan Ulamak Islam SeDunia pada tahun 1999 dahulu.

Kenangan ini amat segar buat saya dan sahabat yang melaluinya. Ia membentuk wa’yul siyasi (kesedaran politik) yang tinggi pada diri kami selamanya iAllah. Dan kami akan abadikan kisah ini untuk generasi mendatang yang sayangkan jalan dakwah ini.

Ikhwah yg dirahmati Allah;

Tiga tahun lepas itu sebaik naiknya kerajaan Pakatan Harapan di Putrajaya, Syeikh QarrahDaghi sekali lagi bertandang ke rumah Anwar mengucapkan kesyukuran pada pembebasan dan perubahan yang “sudah semakin hampir” berlakunya di Malaysia.

Dan demi menciptakan sejarah seterusnya – pada 2 Jan 2020 pula, “Ketua Baru” Kesatuan Ulamak SeDunia (Ittihad Ulamak) yang menggantikan Syeikh Qaradhawy, iaitu Syeikh Dr Ahmad Raisuny bertandang sendiri ke rumah Anwar Ibrahim.

Beliau memberikan ucapan bahawa tidak syak lagi Kesatuan Ulamak SeDunia amat berharap segala perancangan dan tribulasi untuk Anwar menjadi Perdana Menteri Malaysia tersebut diterima Allah sebagai amal soleh, dan dibuang jauh segala tipudaya jahat musuh yang nampak atau tidak nampak yang berusha cuba menggagalkannya.

Ikhwah yang dirahmati Allah;

Alhamdulillah saya diberikan peluang untuk bertemu dan merasai sendiri kehadiran dalam hampir kesemua sesi bersejarah yang saya nyatakan di atas. Saya amat bersyukur dengan peluang yang Allah aturkan itu.

Saya memilih untuk berkongsikan segala ‘ibrah di jalan perjuangan politik dakwah dalam siri tulisan ini dan segala perkongsian di dinding Facebook saya, buat yang mahu mengambil pengajarannya. Yang benci dan tidak mahu membaca, sila abaikan.

Esok (Hari ini) Anwar diterima mengadap YDPA untuk meneruskan agenda islah dan tajdid yang sudah lama dimulakan itu.

Malam ini saya mengajak kita semua bermunajat pada Allah berdoa semoga hanyasanya perancangan Allah sahajalah yg berjaya menentukan segalanya dalm penuh redhaNya.

Kata Allah, maksudnya;

“…Bahawasanya jika kita berasa sakit (penat atau letih) atas apa yg diusahakan, sesungguhnya musuh juga sedang sakit berusaha untuk menggagalkannya”.

“Namun kata Allah, yakinlah bahawa usaha kita itu akan mendapat redha Allah, sedangkan kepenatan musuh itu hanyalah untuk tujuan bathil sahaja.” [An-Nisak : 104]