Malaysia Dateline

Tokoh wartawan, pejuang miskin bandar Datuk Ahmad A Talib meninggal dunia

Tokoh wartawan dan bekas Pengarang Kumpulan NST, Datuk Ahmad A Talib meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) jam 5.45 petang tadi akibat kanser.

Beliau yang baru sahaja keluar dari Hospital Pantai beberapa hari lalu di bawa ke PPUM dan meninggal di sana.

Jenazah Allahyarham akan disolatkan di Masjid Al Muqarobbin, Bandar Tasik Selatan, Cheras petang ini sebelum dikebumikan petang ini juga.

Ahmad Talib sebelum ini telah dilantik oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Induk, Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia (KLWBC).

Tugas besar beliau adalah mempastikan Kuala Lumpur menjadi ikon buku dunia dan anugerah Unesco itu memberikan impak bermakna buat warganya.

Datuk Ahmad Talib bersama Menteri Wilayah Persekutuan dalam sidang media sempena Seminar Membansmi Miskin Bandar 5 Disember 2019 lalu.

Allahyarham juga adalah Pengerusi Seminar Membasmi Kemiskinan Bandar yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Wilayah Persekutuan, Yayasan Wilayah Persekutuan dan Dewan bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Majlis Belia Wilayah Persekutuan.

Seminar yang diilhamkan oleh Allahyarham ini yang telah diadakan pada 5 Disember 2019 telah meletakkan usaha untuk membawa miskin bandar keluar lingkaran ganas kemiskinan itu.

Namun belum sempat ia dilaksanakan sepenuhnya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berusaha melaksanakannya bersama Allahyarham telah dijatuhkan melalui pintu belakang.

Kesihatan Allahyarham mula merudum selepas pertukaran kerajaan itu dan dimasukkan ke Hospital Pantai yang kemudiannya mengesahkan beliau telah diserang kanser.

Memandangkan usianya yang agak lanjut, usaha perubatan secara kemoterapi yang dibuat tidak boleh diterima oleh badannya sehingga beliau dibawa keluar dari hospital itu dan pulang ke rumah.

Negara kehilangan tokoh besar ini, yang merupakan wartawan ulung dan dihujung hayatnya cuba untuk membantu golongan miskin keluar dari lingkaran ganas yang menyelubungi kehidupan mereka.

Semoga roh Allahyarham diterima Allah dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.

Alfatihah untuk Allahyarham hero kita Datuk Ahmad A Talib.