Malaysia Dateline

Toksik Kim Kim: Seorang lagi rakan kongsi syarikat dari Singapura dicari

Polis Johor sedang mencari beberapa individu lain termasuk seorang rakan kongsi syarikat yang terlibat dengan kejadian pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim dekat Pasir Gudang.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. memberitahu semua mereka termasuk rakan kongsi rakyat Singapura berusia lingkungan 30 hingga 40-an itu diminta tampil membantu siasatan kes berkenaan.

Beliau memberitahu, pihaknya sudah meminta bantuan Polis Singapura untuk mengesan rakan kongsi syarikat terbabit.

Jelasnya, polis sebelum ini sudah menahan 11 suspek bagi membantu siasatan kes pencemaran racun melibatkan lapan sebatian kimia berbahaya itu.

Salah seorang daripadanya, kata Mohd. Khalil, sudah dilepaskan pada 19 Mac lalu manakala tiga lagi dituduh di mahkamah hari ini.

“Lagi tujuh individu sudah dilepaskan dengan jaminan polis setelah didapati tidak terlibat dalam kes pencemaran berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.