TokTi guna Booking.com je untuk tempah hotel termahal di Dubai

Oleh KIM SYAZIE

Perkongsian Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berkenaan percutian mewahnya di hotel terkemuka dunia iaitu Hotel Atlantis The Royal di Dubai mencuri tumpuan ramai.

Dalam sesi siaran langsung baru-baru ini di TikTok, penyanyi nombor satu negara itu mendedahkan beliau sebenarnya membuat tempahan hotel termahal itu hanya melalui laman sesawang Booking.com sahaja.

Booking.com adalah laman web yang menyediakan ribuan perbandingan harga penginapan bermula dari harga yang murah sehinggalah yang paling mahal.

Siti berkata dia juga sama seperti orang kebanyakan yang lain yang membuat tempahan melalui laman web berkenaan untuk mendapatkan pelbagai diskaun.

“Iya saya tempah sendiri hotel. Saya manusia biasa juga yang suka melancong cari hotel sendiri.

“Hotel tu saya tempat di booking.com saja. Saya pun macam orang lain juga, saya pakai aplikasi yang boleh bagi diskaun. (Dalam web itu) ada level dia, jadi kalau tinggi dapat murah.

“Kena pandai juga jangan nak habis belanja saja, janji kita dapat fasiliti yang bagus dan ada diskaun,” katanya.

Siti juga sempat memberi tips melancong seperti membuat perancangan awal beberapa bulan sebelum.

“Saya suka buat sendiri, kalau pergi Umrah pun saya tempah hotel sendiri dahulu.

“Itinerary juga saya buat sendiri dan ada juga bantuan dari agensi seperti ketika saya menaiki kapal tempoh hari. Yang lain semua saya buat sendiri.

“Kalau nak buat percutian kena rancang awal, saya cari hotel semua 4 ke 5 bulan sebelum saya pergi bercuti. Baru dapat harga murah,” kongsinya.

Untuk info, selain Emiriah Arab Bersatu, Siti Nurhaliza dan keluarga turut bercuti ke beberapa negara lain seperti Turkiye dan Oman sejak Disember lalu.

Baca juga: Wanita dicaj RM879.20 untuk servis Perodua Bezza, rasa diri ditipu – “Staf kata semua wajib”