Tokyo 2020 lancar piktogram Sukan Olimpik

Tokyo 2020 lancar piktogram Sukan Olimpik

Jawatankuasa penganjur Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 melancarkan piktogram sempena kiraan 500 hari menjelang temasya kejohanan itu di sini pada Selasa.

Sejumlah 50 piktogram direka untuk mewakili 33 sukan yang bakal ditampilkan di Tokyo 2020, dengan lebih satu piktogram bagi sesetengah sukan.

Ia akan diketengah dalam bentuk “Bebas” dan “Berbingkai” bagi penggunaan berbeza termasuk poster, tiket, peta serta buku panduan.

Kumpulan pertama piktogram Sukan Olimpik itu pertama kali diperkenal di Sukan Tokyo 1964 dan sejak itu telah diwujudkan bagi setiap edisi temasya kejohanan tersebut.

Masaaki Hiromura, pemimpin pasukan reka bentuk piktogram itu, menjelaskan bahawa rekaan tersebut adalah gabungan legasi dari Sukan 1964 dan dinamisme semasa sukan berkenaan.

“Ia merupakan satu penghormatan untuk turut serta dalam mereka bentuk piktogram sukan bagi Tokyo 2020. Saya telah cuba menzahirkan keindahan dinamik para atlet menerusi kesemua piktogram ini, pada masa yang sama menghormati legasi yang ditinggalkan oleh perintis industri rekaan Jepun bagi Sukan Tokyo 1964,” kata lelaki berusia 64 tahun itu.

“Saya harap kesemua piktogram ini akan memberi inspirasi kepada semua orang dan membantu merangsang keseronokan bagi sukan yang berbeza di Tokyo 2020,” katanya.

Sukan Olimpik Tokyo dijadualkan berlangsung dari 24 Julai hingga 9 Ogos 2020.

— BERNAMA