Malaysia Dateline

Tol empat lebuh raya tidak naik: PH mulakan proses ringankan beban rakyat

Pengumuman berkenaan kadar tol di empat lebuh raya tidak akan dinaikkan sehingga tamat tempoh konsesi merupakan dasar Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang memulakan proses untuk meringankan beban rakyat.

Majlis Presiden PH menerusi kenyataan bersamanya berkata, empat lebuh raya yang akan diambil alih oleh sebuah entiti pada nilai RM5.48 bilion adalah kesinambungan kepada usaha yang dimulakan kerajaan Pakatan Harapan pada Oktober 2019.

Menurut kenyataan tersebut, Majlis Jemaah Menteri ketika pentadbiran kerajaan PH sebelum ini telah memutuskan secara dasar untuk memulakan proses mengambil alih lebuh raya-lebuh raya tersebut.

Ismail Sabri

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan bahawa Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lebuhraya Damasara-Puchong (LDP) tidak akan dinaikkan kadar tol sehingga tamat tempoh konsesi.

Keempat-empat lebuh raya itu dilaporkan akan diambil alih oleh sebuah entiti iaitu Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR) pada nilai RM5.48 bilion.

Sehubungan itu, menurut kenyataan bersama PKR, AMANAH, DAP dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko), apa yang diumumkan Ismail Sabri adalah dasar Pakatan Harapan yang diteruskan hingga ke penghujungnya.

“Ini membuktikan bahawa jika Pakatan Harapan terus mentadbir lebih dari 22 bulan dan Langkah Sheraton tidak berlaku, pelbagai dasar yang membantu meringankan beban rakyat dapat dilaksanakan.

“Sebagai contoh, Kerajaan Pakatan Harapan telah memulakan usaha menamatkan konsesi lebuh raya dengan mengurangkan kadar tol Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) sebanyak 18% pada 2020.

“Malah, Pakatan Harapan telah merancang untuk memberi diskaun 30% dan tol percuma selama 16 jam sehari di empat lebuh raya ini,” kata kenyataan itu.

Dalam masa sama, Majlis Presiden PH menggesa kerajaan untuk memberi diskaun tambahan kepada pengguna di empat lebuh raya terbabit.

Kerajaan juga, kata kenyataan itu lagi, dituntut memberi penjelasan penuh ke Parlimen berhubung hakmilik ALR, terutama dari sudut kewajipan kewangan dan ketelusan perbelanjaan ALR.

Baca juga: https://malaysiadateline.com/ph-kurang-tol-18-tanpa-rugikan-khazanah-dan-kwsp-tapi-pn-pula-mahu-mansuhkan/

Baca juga: https://themalaysialife.com/tak-kisah-ditinggal-isteri-lelaki-rela-jadikan-buaya-sebagai-teman-hidup/