Tol lebuhraya bebanan ketara rakyat

Tol lebuh raya merupakan antara isu yang dimasukkan dalam manifesto Pakatan Harapan Piliha Raya Umum 14 (PRU14).Isu berkaitan dengan tol, merupakan isu yang berkait langsung dengan kedudukan sosio ekonomi rakyat.

Jelasnya, bayaran caj tol mempunyai unsur yang menjejaskan pendapatan boleh guna rakyat, khususnya bagi mereka yang berulang alik untuk bekerja, terpaksa menghabiskan sejumlah wang untuk membayar tol.

Mengambil purata kadar tol RM2.00 untuk satu laluan tol, terpaksa menempuhi tiga buah Plaza tol, bermakna untuk laluan dua hala, pengguna terpaksa berbelanja purata dalam lingkungan sebanyak RM240 sebulan.

Merupakan satu kos yang tinggi untuk ditampung oleh rakyat, belum termasuk kos tol yang terpaksa ditanggung oleh rakyat, bagi aktiviti lawatan sosial dan juga urusan-urusan pribadi.

Kos tol yang tinggi tentunya memberikan impak yang besar khususnya kepada golongan B40, berpendapatan kurang daripada RM4,360.Kenaikan kos hidup yang tinggi akan menjadikan nilai pendapatan mereka semakin mengecil, tentunya memberi implikasi besar terhadap peruntukan perbelanjaan keluarga. Harus diakui bahawa tol merupakan bebanan ketara terhadap rakyat, terutamanya kepada mereka yang terpaksa hadapinya pada setiap hari atas urusan pekerjaan.

Berkaitan dengan isu tol ini, manifesto PH PRU14, mencatatkan;”Kerajaan Pakatan Harapan akan mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuhraya.
Kami akan berunding untuk mendapatkan harga yang terbaik untuk mengambil alih setiap konsesi tol dengan matlamat akhir untuk menghapuskan kutipan tol secara berperingkat. Kami percaya bahawa penyediaan infrastruktur asas seperti jalanraya dan lebuhraya adalah tanggungjawab kerajaan untuk rakyat. Kerajaan Pakatan Harapan akan mengambil alih konsesi dengan pampasan yang adil kepada syarikat berkaitan.”

Kata kunci kepada kenyataan dalam manifesto PH ini adalah, “mengkaji semula, berunding, mengambil alih, menghapuskan tol secara berperingkat dan pampasan yang adil.” Berdasarkan kata kunci tersebut, memperlihatkan bahawa PH mempunyai hasrat dan komitmen yang tinggi untuk menyelesaikan isu berkaitan dengan caj tol.

Dalam usaha untuk merealisasikan penstrukturan tol ini, pihak kerajaan dikatakan sedang mempertimbangkan dua pilihan cadangan, iaitu pilihan yang melibatkan cadangan daripada Maju Holding Sdn Bhd dan cadangan daripada Kementerian Kewangan Diperbadankan, sebagaimana dilaporkan oleh The Edge Malaysia, 2 September 2019.

Cadangan Maju Holding, mengambil alih PLUS yang mana tempoh konsesinya akan tamat pada 2038. Berdasarkan cadangan Maju Holding, terdapat empat kemungkinan situasi, berkaitan dengan kos tol; penurunan 25%, dengan pelanjutan 10 tahun; penurunan kadar tol 30%, dengan pelanjutan selama 15 tahun; penurunan 33% dengan pelanjutan 20 tahun dan penurunan 36%, dengan pelanjutan selama 30 tahun, iaitu sehingga 2068.

Manakala cadangan daripada Kementerian Kewangan Diperbadankan, mengambil alih empat lebuh raya bertol yang dikendalikan oleh Gamuda Bhd dengan kos RM6.2 billion; melibatkan Kesas (Konsortium Expressway Shah Alam Selangor); SPRINT (Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat); Litrak (Lingkaran Trans Kota) dan SMART (Stomwater Management and Road Tunnel).
Berdasarkan kenyataan Menteri Kewangan, pengambil alihan tol ini akan menyelamatkan wang pembayar cukai sebanyak RM5.3 billion.

Juga dikatakan kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mengambil alih 15 lebuh raya bertol yang dengan anggaran kos RM43 billion, termasuk di bawah pemilikan PLUS dan juga pemilikan IJM Corp Bhd.

Soal yang berkaitan dengan tol lebuh raya merupakan isu yang kritikal, isu mendasar kepada kehidupan rakyat, hakikatnya segala pergerakan rakyat; utara, selatan, barat dan timur; dibelenggui oleh tol dan terperangkap dalam gegelung tol.

Kerajaan perlu memperlihat inisiatif yang tinggi ke arah usaha bersungguh untuk menstrukturkan semula tol yang boleh membawa kepada penghapusan tol secara berperingkat sebagaimana tercatat dalam manifesto PH.

Penyelesaian berhubung dengan tol lebuh raya perlu dilihat sebagai antara agenda utama kerajaan, bagi membolehkan Pakatan Harapan menyertai Pilihan Raya Umum 15 (PRU15) tanpa adanya beban yang boleh menghilang kepercayaan rakyat terhadap kewibawaan serta kebolehan kerajaan dalam mengurus segala janji manifesto yang dibuat.

*Kolumnis adalah Pensyarah di Fakulti Pengurusan dan Ekonomi Universiti Pendidikan Sultan Idris.