Tol Plus, Jambatan Pulau Pinang dimansuh jika Pakatan bentuk kerajaan

Tol Plus, Jambatan Pulau Pinang dimansuh jika Pakatan bentuk kerajaan

Kutipan tol di Lebuhraya Utara-Selatan dan tol Jambatan Pertama Pulau Pinang akan dihapuskan jika Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Langkah pemansuhan tol ini, kata beliau dibuat bagi meringankan beban rakyat.

Menurutnya, perjanjian konsesi tol Lebuhraya Utara-Selatan sepatutnya tamat pada 2018 namun ia dilanjutkan sehingga 2038.

Perkara sama berlaku kepada perjanjian asal konsesi tol Jambatan Pertama Pulau Pinang yang dilanjutkan selama 20 tahun lagi.

“Sedangkan hasil kutipan tol sehingga akhir 2015 berjumlah RM36.3 bilion. Kos pembinaan sebenar Lebuhraya Utara-Selatan hanya RM5.9 bilion.

“Kalau menang di Putrajaya, baru kita ada kuasa untuk melakukannya. Menang kerajaan negeri saja tidak cukup kuasa untuk menghapuskan tol dan cukai GST,” katanya pada majlis pemberian insentif perkhidmatan pemandu teksi dan operator bas sekolah di Georgetown, 15 Jan lalu.

Pada majlis itu seramai 405 pemandu teksi dan operator bas sekolah dari Seberang Perai menerima insentif perkhidmatan berjumlah RM300 setiap seorang.

Sejumlah 1,291 yang lain dari kawasan Pulau Pinang telah menerima insentif serupa pada Sabtu lalu, lapor Roketkini.

Kesemua mereka akan memperoleh sumbangan sebanyak RM300 lagi pada sesi pembayaran hujung tahun ini, menjadikan keseluruhan insentif perkhidmatan tahunan berjumlah RM600.

TAGS