
Tolak Belanjawan 2021 jika tiada perubahan, gesa Pemuda AMANAH
Pemuda AMANAH Nasional menggesa agar ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) menolak Belanjawan 2021 pada hari pengundian nanti sekiranya tiada pindaan dibuat dalam belanjawan tersebut.
Timbalan ketuanya, Taqiuddin Che Man berkata, Belanjawan 2021 hanya sekadar bersifat populis dengan angka-angka yang gah didengar, malah dibanggakan oleh Perikatan Nasional kerana dikatakan belanjawan terbesar dalam sejarah Malaysia.
Namun katanya, unjuran pertumbuhan yang dibuat tidak masuk akal dan perbelanjaan yang dibentangkan tidak mampu memberi jalan keluar kepada negara dan rakyat dalam berhadapan pandemik Covid-19.
“Perbahasan Belanjawan 2021 di Parlimen juga dilihat seperti sukar bagi kerajaan melaksanakan pindaan yang dicadangkan oleh pihak pembangkang.
“Lebih malang lagi, Menteri Kewangan sendiri mengambil sikap ‘defensive’ dan membuat ugutan sekiranya Belanjawan ini tidak diluluskan, maka penjawat awam akan terjejas.
“Jelas ini adalah suatu sikap tidak bertanggungjawab pihak kerajaan dan tidak menghormati institusi Parlimen dalam meluluskan mana-mana Rang Undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Adun Pulai Sebatang itu juga menegaskan agar pendirian yang sama diambil oleh Ahli Parlimen yang lain untuk turut sama menolak Belanjawan 2021 sekiranya tiada pindaan dibuat.
Selain itu katanya, penolakan Belanjawan 2021 akan menjadi indikator jelas sama ada kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin mempunyai sokongan majoriti ahli parlimen atau pun tidak.
“Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sendiri telah memberikan signal yang jelas menolak Belanjawan 2021 dengan tidak mengambil bahagian dalam perbahasan belanjawan.
“Sedangkan Penasihat Umno pun sudah mengambil pendirian tegas tentang keabsahan kerajaan PN, adakah Umno perlu mengambil sikap bertentangan dengan penasihatnya?
“Justeru, Barisan Nasional dan Umno yang selama ini ‘dibuli’ oleh PN, inilah masanya untuk Umno dan BN memberikan mesej jelas menolak kerajaan pimpinan Muyiddin dengan menolak Belanjawan 2021,” katanya lagi.