Malaysia Dateline

Tolak beri nyawa kepada kleptokrat, syarat dari “kluster mahkamah”

Pemuda AMANAH Kelantan menyokong pendirian tegas pimpinan nasional yang menolak untuk parti itu berada bersama dengan penyamun dan perompak di dalam kerajaan.

Ketuanya, Hazmi Hassan berkata, AMANAH menjunjung tinggi integriti dan menolak untuk memberi nyawa kepada kleptokrat yang telah pun disabitkan bersalah dan kini sedang membuat rayuan.

“Kita tidak menolak mana-mana ahli Parlimen atau parti untuk bersama mengembalikan mandat rakyat.

“Namun, jika ianya hadir bersyarat dan syarat itu dari golongan “kluster mahkamah” maka kami bersetuju AMANAH menolak untuk bersama penyamun dan perompak di dalam kerajaan,” katanya kepada Malaysia Dateline hari ini.

Semalam, Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub menegaskan parti tersebut dengan semangat reformasi sama sekali tidak mengambil pihak yang tidak berintegriti.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata demikian semasa ucapan perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Hazmi berkata, kebanyakan pimpinan AMANAH telah ditawarkan jawatan dan kuasa sekiranya bersetuju bersama Umno sejak pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi

Walau bagaimanapun, Hazmi berkata, pimpinan AMANAH yang ketika itu berada dalam Pas menolak untuk merasionalkan kerja-kerja penyamun dan perompak.

“Umno pernah menggunakan RUU355 untuk membeli maruah Pas demi membaiki imej Umno.

“Kini, jika Umno menawarkan jawatan dan kuasa demi untuk membersihkan imej Umno yang telah kotor di mata rakyat,” ujarnya.

Sehubungan itu, Pemuda AMANAH Kelantan, tegasnya, menyokong penuh kenyataan pimpinan AMANAH Nasional.

“Hari ini Muhyiddin mula ditikam dari belakang Umno setelah mereka menyelamatkan Umno dan bergabung membentuk kerajaan.

“Kerana segala kemahuan dan kehendak tidak dipenuhi, Umno mula menyusun strategi dan ingin menjatuhkan PN,” tambah Hazmi lagi.