Malaysia Dateline

Tolak Bersatu tiada kaitan dengan kluster mahkamah, kata Ahmad Maslan

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan keputusan parti itu menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 bukan kerana ‘kluster mahkamah’.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata, keputusan itu sebaliknya kerana sebanyak 124 bahagian Umno mengemukakan usul menolak kerjasama dengan parti diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.

Untuk rekod, ‘kluster mahkamah’ merujuk kepada pendakwaan dihadapi beberapa pemimpin Umno pada masa ini.

Jelas Ahmad, terdapat 15 bekas pemimpin Umno Bahagian yang sebelum ini menjadi Ahli Parlimen didukung oleh Umno kemudian berhijrah ke Bersatu.

“Bahagian itu tentulah sukar bekerjasama dengan Bersatu. Di Labuan misalnya, ketua bahagiannya dulu orang kita (Umno).

“Tiba-tiba diangkat jadi Ahli Parlimen Labuan, kemudian lari dari barisan. Tentulah Umno Labuan marah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam program temu bual sempena Persiapan Perhimpunan Agung Umno 2020 di Facebook Umno Online, malam tadi.

Bekas Timbalan Menteri Kewangan itu turut memberitahu ada ketua bahagian yang kalah bertanding dalam pemilihan Umno lalu lantas keluar mencari tempat lain dan menjadi Ketua Bahagian Bersatu.

“Ini semua urusan yang berlaku di bawah yang melihat isu spesifik masing-masing. Ia tidak ada kena mengena dengan kluster mahkamah. Sentimen di bahagian masing-masing yang menyebabkan perkara (penolakan) ini berlaku,” ujarnya.

Lewat menghantar

Dalam masa sama, Ahmad yang pernah didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak mengisytiharkan pendapatan yang diterima daripada Najib Razak berjumlah RM2 juta melalui sekeping cek pada 2013 itu berkata, terdapat 124 usul daripada bahagian yang menolak Bersatu.

“Usul penolakan Bersatu diterima Umno pada asalnya 118 usul, kemudian menjadi 124 usul apabila enam bahagian lewat menghantarnya,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menegaskan isu kerjasama dengan Bersatu tidak seharusnya dimomokkan kononnya Umno menolak penyatuan ummah.

Ahmad berkata, penyatuan ummah sudah Umno mulakan pada ketika parti itu dan Pas menjadi pembangkang sebelum ini manakala Bersatu masih bersama DAP dan Pakatan Harapan (PH).

“Pada 2018 dan 2019, Umno dan Pas sudah menyatukan dan sehingga kini, Umno dan Pas ingin perkara itu diteruskan. Nak tuduh Umno (tolak penyatuan) itu tidak benar,” tegasnya.