Tolak bil bulan ini, orang ramai cadang TNB beri pampasan ikut tempoh

Oleh ARIF ATAN

Orang ramai mencadangkan supaya Tenaga Nasional Berhad (TNB) tolak saja bil semasa bulan ini ekoran
gangguan bekalan elektrik di beberapa negeri, 27 Julai lalu.

Ada juga berpendapat TNB perlu menyediakan rebat kepada pengguna akaun yang terjejas mengikut tempoh bekalan elektrik terputus.

“Kalau rakyat lambat bayar kena denda. Ni rosak, patut TNB bagi rebat,” kata Pak Lang IV.

Lebih ‘jauh’ lagi terdapat pengguna akaun TNB yang menggesa supaya monopoli syarikat utiliti nasional itu dipecahkan.

Hal ini memandangkan tiada monopoli pembekal utiliti elektrik di sebahagian negara maju lain.

“Pecahkan monopoli TNB supaya bersaing secara sihat. Baru dapat tingkatkan perkhidmatan dan turunkan tarif elektrik.

“Kebanyakan negara-negara maju ada lebih dua syarikat tenaga elektrik,” kata Mohd Nor Rahiuder.

Dalam masa sama, netizen turut mengingatkan bahawa mana-mana jenis pembekal utiliti di negara ini patut memberi rebat separuh harga.

“Bukan elektrik saja. Internet, line telco, tv berbayar sepatutnya bagi rebat. Jangan tahu nak terminate line saja bila lambat bayar,” tegas Ahmad Hafiz Mohd.

Sementara itu, pengguna Facebook Ba Yon pula memberitahu pengguna boleh mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Tenaga (ST) jika berlaku kerosakan peralatan elektrik sepanjang tempoh terputusnya bekalan elektrik.

“Kena nilaikan apa kesusahan tersebut? Kalau nak tuntut kesusahan sebab emosi buatlah tuntutan sivil,” sarannya lagi.

Kelmarin, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilapor berkata, terdapat kiraan dan syarat tertentu yang membolehkan pengguna akaun TNB terutama peniaga mendapat rebat disediakan.

Menurutnya, seramai satu juta akaun mengalami gangguan bekalan elektrik pada hari berkenaan membabitkan akaun domestik, industri dan komersial.

Baca juga Tangguhkan kenaikan tarif elektrik