Tolak dacing tolak bulan, Pas mahu menangkan Najib

Tolak dacing tolak bulan, Pas mahu menangkan Najib

Dua kali Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan pengundi supaya tidak lagi memilih Pas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dalam ceramahnya di Felda Besout 1, Tanjung Malim kelmarin.

Dalam tujuh minit terakhir berucap itu, beliau menyifatkan Pas bertanding bukan untuk menang sebaliknya cuma mempertahankan Najib Razak.

“Tolak dacing (BN), tolak bulan (Pas). Pas mahu menangkan Najib. Parti Pas ini dia masuk bukan nak menang. Dia masuk (pilihan raya) sebab nak tarik sebahagian daripada undi Pakatan Harapan (PH).

“Itulah niatnya. Niatnya tidak baik. Dia tahu tak boleh menang tapi nak masuk juga (bertanding) seolah-olah dia ada pakatan dengan Umno,” selarnya disambut tepukan gemuruh pendengar yang rata-ratanya generasi peneroka Felda.

Beliau dalam ucapan hampir 40 minit itu kemudiannya mengulangi sekali lagi memberi penekanan sama dengan menganggap Pas sudah menerima suapan wang daripada Umno.

“Inilah cara Pas. Dia masuk (pilihan raya) bukanlah dengan niat baik nak cari kemenangan. Dia cuba nak tolong Umno menang, nak tolong Najib saja.

Pemimpin Pakatan Harapan di program ceramah si Felda Besout 1, Tanjung Malim kelmarin.

“Dalam Islam yang penting niat. Tapi niat Pas bukan pasal nak menang. Niat nak beri kemenangan kepada Najib.
“Inilah tujuan parti Pas dan mereka akan letak calon untuk membelah bahagi orang yang menentang Najib supaya Najib mendapat kemenangan.

“Jangan sekali-kali mengundi dacing atau pun bulan. Undi PH,” tegasnya lagi mengundang tepukan gemuruh orang ramai.

Calon Perdana Menteri PH berkenaan berkata, dakwaan Pas sebelum ini tentang kerjasama dengan orang kafir sebenarnya berbalik pada parti diketuai Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.

“Dulu dia kata Umno ini kafir fasal ada kerjasama dengan orang kafir. Kalau ikut tafsiran dia (Pas), dia pun jadi kafirlah juga.

“Inilah yang bila kita katakan pada orang, balik kepada kita. Jangan kata kepada orang. Kamu pun (dulu) biasa kerjasama dengan DAP.

“Tapi bila Pas nak kerjasama dengan DAP, dia tak kata kerjasama, dia kata tahaluf siyasi,” sinisnya serentak mengundang ketawa orang ramai.

Pegang poket

Sehubungan itu, Tun Mahathir mengingatkan penggunaan bahasa Arab tidak bererti menjadikan sesuatu perbuatan sudah menjadi Islam.

“Ini (tahaluf siyasi) perkataan Arab. Dia (Pas) tidak tahu banyak orang Arab (agamanya) Kristian. Dia bukan Islam. Orang Melayu saja, kalau tak Islam, tak jadi Melayu.

Program ceramah Pakatan Harapan mendapat sambutan memberangsangkan daripada warga Felda.

“Hanya menggunakan perkataan dalam bahasa Arab tidak bermakna bahawa perbuatan kamu itu sudah jadi Islam. Kamu bekerjasama dengan DAP, mengikut tafsiran kamu juga, kamu sudah jadi kafir.

“Dia (Pas) yang kata, saya tak kata. Pas yang kata kalau kerjasama dengan orang kafir, kamu akan jadi kafir,” bidasnya lagi.

Beliau bahkan menganggap Umno hari ini sudah meninggal dunia lantaran perjuangan parti tersebut tidak lagi seperti dahulu.

“Umno sudah wafat. Tidak ada Umno lagi. Pertubuhan itu ada tapi isi kandungannya tidak ada.

“Umno ditubuhkan untuk memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air. Hari ini cuma memperjuangkan Najib dan Rosmah.

“Nak sokong Umno lagikah? Saya (bekas) Presiden Umno, saya keluar. Pasal apa saya keluar? Pasal dia bukan Umno. Saya keluar daripada Umno sebab Najib jadikan partinya sendiri,” ujarnya.

Beliau kemudiannya mengundang ketawa orang ramai yang sebahagiannya tidak berganjak daripada terus berdiri mendengar ceramah tokoh berusia 93 tahun itu.

“Dalam akhbar luar negeri kata, Najib sudah curi bukan saja duit, partinya pun dia curi.

“Jaga baik-baik. Bila berjalan, nampak dia, pegang poket. Apa yang boleh dia curi, dia curi,” sindir Tun Mahathir lagi.

6.3
OVERALL SCORE
3 user votes x 8.3
CATEGORIES