Tolak ekstrimisme bangsa dan agama Abim seru rakyat Malaysia hadir Solidariti Kedamaian

Tolak ekstrimisme bangsa dan agama Abim seru rakyat Malaysia hadir Solidariti Kedamaian

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menyeru rakyat Malaysia untuk hadir dalam himpunan rakyat Solidariti Kedamaian untuk menyatakan penolakan terhadap ekstrimismen agama dan bangsa  demi cintakan keamanan dan kedamaian di negara ini.

Ia sebagai usaha menyatakan kepada dunia rakyat negara ini cintakan keamanan dan kedamaian serta menolak sebarang bentuk ekstrimisme politik, kaum dan agama agar peristiwa tragis di New Zealand tidak berlaku di Malaysia.

Mohammad Raimi Abdul Rahim

Presidennya Mohamad Raimi Abdul Rahim berkata, Solidariti Kedamaian yang akan diadakan Sabtu ini melambangkan keperihatinan dan sokongan rakyat negara ini yang bebas daripada sebarang bentuk ekstrimisme.

“Kita nyatakan keperihatinan dan sokongan kita sebagai sebuah negara yang bebas daripada sebarang gejala ekstremisme.

“Kita sudahpun bertemu dengan kedutaan New Zealand menyatakan pendirian Malaysia agar hubungan dua negara lebih akrab dalam konteks masa depan.

“Oleh itu kita menyeru rakyat Malaysia hadir pada hari Sabtu ini,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Himpunan Solidariti Kedamaian itu akan dimulakan dengan solat subuh di Masjid Negara yang akan diimamkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk  Dr Zulkifli Al Bakri dan akan diadakan tazkirah berkaitan topik keamanan dan kedamaian.

Penglibatan lebih 50 NGO dan NGI serta agensi kerajaan lain yang akan memenuhi perarakan dari Kompleks Membeli Belah Sogo ke Dataran Merdeka pada jam 7.30 pagi.

Menurut Mohamad Raimi lagi, Solidariti Kedamaian ini yang pertama kali diadakan nanti, adalah sebagai permulaan mengenai peri pentingnya isu perpaduan dan pembinaan bangsa sentiasa  dipelihara.

“Keadaan seperti yang berlaku di New Zealand agak rapuh tetapi itu bukan sebab kita mengadakan himpunan Solidariti Kedamaian ini.

“Kita perlu merasai kedamaian dan  perpaduan yang kita bina bersama dan sekiranya  berlaku kecemburuan antara kaum dan agama, kita akan tangani ia secara bersama.

“Ini satu permulaan  kepada gerakan yang berterusan dalam usaha membanteras gejala radikal dan ekstrimisme dalam menyelesaikan perbezaan politik, bangsa dan agama di negara ini,” ujarnya.

Muhd Faizal Abdul Aziz

Dijangka beberapa siri pidato yang akan diwakili di kalangan NGO dan NGI ini dijangka akan menarik lebih kurang 10,000 orang yang akan datang berhimpun menyatakan solidariti keamanan mereka.

Menurut Setiausaha Agung ABIM Muhd Faizal Abdul Aziz berkata, Abim   ingin merakamkan takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Haziq Mohd Tarmizi.

“Kami merakamkan takziah kepada keluar mangsa semoga diberi kekuatan menerima takdi ketentuannya.

“Walau bagaimanapun kami menggesa pihak berkuasa New Zealand untuk terus memberi komitmen untuk menjaga keselamatan rakyat Malaysia di sana khususnya umat Islam,” ujarnya ketika dihubungi.

Beliau berkata kematian Allahyarham Muhammad Haziq,17, adalah satu sejarah penting bagi rakyat negara ini.

Ini kerana ujarnya lagi. rakyat Malaysia turut menjadi mangsa kepada gejala ekstrimisme anti Islam di New Zealand yang pastinya seluruh rakyat Malaysia tidak akan melupakan peristiwa tragis itu.

Solidariti Keamaan ini dianjurkan Jabatan Perpaduan serta Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman Dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA).

JKMPKA merupakan jabatan yang diletakkan dibawah Jabatan Perpaduan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan telah wujud sejak 2010.