Tolak golongan Pelampau

 Napoleon Bonaparte pernah berkata; “Tidak ada ruang yang dapat memasuki akal sehat dikepala seorang pelampau” Realitinya sepanjang sejarah dan zaman semua agama samawi pernah dan masih bertembung dengan golongan pelampau
agama.

Sudah menjadi lumrah dan nasib yang tersurat bahawa setiap agama akan bertembung dengan ancaman hawa nafsuyang bergelora serta pemikiran yang menyesatkan.

Agama tidak akan aman sama sekali daripada pelampau dan penindasan segolongan daripada masyarakatnya. Bahkan setiap umat dalam menegakkan seruan akidah sentiasa berhadapan dengan golongan sesat yang memesongkan agama. Dari segi prinsipnya mereka memiliki kepercayaan serta pegangan atas nama agama yang di luar batasan ajaran agama

Islam sebenar.Tindakan serta praktik amalan-amalan mereka telah terkeluar daripada metodologi salafi dalam memahami agama. Biasanya golongan pelampau agama dikaitkan dengan sikap ketaksubannya berhubung dengan pandangannya tanpa mengiktiraf pandangan orang lain.

Mereka menafikan pandangan orang lain dengan sewenang-wenangnya. Apa yang menghairankan golongan ini membolehkan dirinya berijtihad dalam masalah yang kompleks dan isu yang kabur, lalu mengeluarkan fatwa mengikut pemikirannya, sama ada bertepatan atau bersalahan dengan agama.

Namun golongan ini tidak menemui pandangan ulama semasa yang pakar dalamsesuatu bidang, secara individu atau kolektif berijtihad padapendapat yang bertentangan dengan pendapatnya. Demikian juga dalam amalan apa sekalipun perbuatan golongan ini menggambarkan sikap ekstremis dalam pemahaman terhadapagama.

Ini secara tidak langsung ia menyempitkan konsep samahah dalam Islam serta keagungannya. Mereka menokok tambah ajaran agama mengikut kefahaman dan nafsu mereka mereka semata sambil mendakwa masih terdapat kekurangan dalam agama Islam. Seolah-olah Rasulullah s.a.w menyampaikan satu risalah yang tidak sempurna.

Dan kedatangan puak pelampau adalah untuk menyempurnakan kekurangan yang ada. Golongan pelampau agama berpendapat bahawa di dalam masyarakat Islam kini adalah era manusia semuanya kufur melainkan puak mereka. Orang fanatik adalah orang yang pucat, tanpa darah, bagai mayat hidup di dunia ini. Ia tidak tahu apa yang seharusnya dilakukan akan keperluan terhadap kepercayaanya tersebut.

Sedangkan pada hakikatnya ciri orang Islam sudah diketahui umum. Seseorang Islam itu ialah orang yang mengucapkan bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah s.w.t dan bersaksi bahawa Nabi Muhammad s.a.w. itu pesuruh Allah.

Mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan mengerjakan haji bagi sesiapa yang berkemampuan.Masyarakat Islam pada permulaan zaman Nabi s.a.w. dan ketika penurunan wahyu telah menyaksikan segolongan orang munafik, “Yang mengatakan kepada Rasulullah s.a.w.: Kami bersaksi bahawa engkau adalah Rasul Allah. Maka Allah s.w.t. mencela mereka terhadap apa yang tersirat di hati mereka melalui firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta. (Maksud Al-AlQuran surah al-Munafiqun 63:1) Ada di kalangan sesetengah sahabat Rasulullah s.a.w. meminta izin daripada Baginda untuk membunuh salah seorang munafik. Namun Rasulullah s.a.w. menjawab: Itulah satu golongan yang Allah mencegah aku membunuh mereka. Benar, selagi mereka mengucap syahadah iaitu tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, darah dan harta mereka terpelihara. Mereka berhak mendapat segala hak warga Islam di dalam negara Islam.

Golongan pelampau ini cara dalam mentafsirkan nas-nas – sandarannya bergantung kepada ambilan ayat dan hadis tertentu serta berpegang semata-mata kepada makna zahirnya, tanpa melihat kepada objektif Islam secara umum dari aspek akidah dan syariah. Mereka tidak menekan tentang amanah dan kewajipan agama dalam merealisasikan matlamat individu dan kolektif. Bahkan tidak melihat kepada sebab ayat diturunkan, mahupun mengenali asas pencarian dalil dari aspek bahasa dan hukum fiqh, dan juga tanpa membezakan antara prinsip umum dengan konsep pengecualian berdasarkan kepada sebabnya
dengan puncanya.

Daripada sini mereka menganggap institusi masyarakat Islam masa kini adalah masyarakat kafir kerana mereka mengambil hukum daripada sumber undang-undang ciptaan manusia. Dari aspek pelampau agama, individu itu bermula sebagai seorang yang teguh berpegang dengan agama seperti lazimnya.
Mendidik jiwanya dengan ajaran Islam, prinsip dan tatasusilanya serta menyeru manusia supaya menghayati Islam. Cara sedemikian diterima oleh masyarakat dan digalakkan.Namun

dipertengahan jalan mereka ini telah terpengaruh dgn ajaran Islam yang songsang hingga menbawa ke arah mengekstremkan dirinya dalam masyarakat khususnya dalam hal berkaitan agama. Kemudian dia semakin berlebih-lebihan hingga tanpa ragu-ragu mengeluarkan hukum mensabitkan kesalahan terhadap orang
yang tidak sealiran dengan pegangannya. Kadangkala dia berpendirian melampau dengan sebab berpegang teguh dengan anggapan bahawa masyarakat dan kerajaan tidak benar.

Makin fanatik dan keras dalam kepercayaan yang dipegangnya, maka di baliknya adalah kepucatan dan pesimisme yang berfikiran saperti seorang budak.

Biasanya pendirian ini berpunca daripada tindakan pengasingan dan memencilkan diri yang diasaskan daripada hukuman individu terhadap masyarakat yang dianggap kufur atau murtad atau telah kembali kepada jahiliah. Susulan daripada tindakan memencilkan diri, golongan ini bertukar kepada sifat dan pendirian yang negatifyang bersifat permusuhan.

Golongan pelampau ini berpendapat bahawa meruntuhkan institusi masyarakat adalah satu jalan taqarrub kepada Allah s.w.t. kerana masyarakat tersebut dianggap masyarakat jahiliah yang terpesong dan tidak melaksanakan hukuman yangditurunkan oleh Allah s.w.t. Fenomena mabuk agama, membela secara membabi buta terhadap kepercayaannya, menjadi budak secara sukarela terhadap sebuah ideologi atau agama atau campuran dari keduanya; agama-politik merupakan salah satu dari kesan akibatnya.

Hak sebuah masyarakat dalam menentukan tahap golongan pelampau serta sumber kegiatan mereka adalah tertakluk kepada aktiviti pelampau yang sampai kepada tahap pertembungan dengan pelbagai sistem masyarakat serta undang-undang kecuali sistem yang diikuti dan diterima oleh mereka.

Perlakuan amar makruf dan nahi mungkar contohnya adalah tatacara agama dan tatasusila serta penggeraknya layak dipuji. Tetapi sekiranya dilakukan tanpa batas yang jelas akan mendorong mereka yang melakukan `amar makruf ini menceroboh hak yang bukan hak mereka serta mengancam keselamatan individu serta kebebasan mereka.

Sikap melampau seperti inilah yang seringkali menjerumus umat ke dalam kancah kesesatan dan persengketaan. Bahkan sokongan dan dukungan membuta-tuli kepada sesebuah parti politik jugalah yang mendorong timbulnya gejala pelampau hingga tergamak membakar jambatan ukhuwah sesama umat
Islam.

*Kolumnis adalah Pengarah media Dan Komunikasi Pertubuhan Kearifan Islam Malaysia(OMIW)