Malaysia Dateline

Tolak golongan pengkhianat kedaulatan rakyat

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad berpendapat rakyat Malaysia yang merdeka sekali lagi terpaksa menerima kerajaan yang bukan pilihan mereka setelah 63 tahun merdeka.

Menurutnya, kerajaan yang terhasil daripada politik khianat telah berkuasa dengan penuh kesedaran bahawa mereka bukan yang dipilih rakyat.

Ahli Parlimen Shah Alam tersebut berkata, kedaulatan rakyat telah mereka cabuli walaupun terdiri dari rakyat negara ini sendiri dan kehendak rakyat telah dibakul-sampahkan seperti pernah dilakukan oleh penjajah.

“Hanya warna kulit sahaja berbeza, namun tingkah laku dan sikap mengenepikan kehendak rakyat adalah seperti penjajah!” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan antara yang terpenting dengan tercapainya kemerdekaan adalah berjaya membebaskan negara dari dikuasai pihak asing dan rakyat sendiri dapat menentukan hala tuju negara.

“Rakyat turut bebas untuk memilih pemimpin mereka, dari kalangan rakyat untuk melaksanakan rancangan pembangunan yang dipilih rakyat.

“Kita tidak akan lagi dipaksa menerima pemimpin yang ditentukan oleh penjajah dan kehendak rakyat akan menjadi penentu dalam semua hal. Ini antara nikmat kemerdekaan,” jelasnya.

Sehubungan itu, Khalid yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan menyeru agar maksud kemerdekaan sebenar yang berpaksikan kedaulatan rakyat dihayati.

“Marilah kita berikrar untuk benar-benar merdeka dengan menolak golongan pengkhianat dan budaya politik khianat mereka yang membelakangi kedaulatan rakyat,” katanya.

Tegasnya lagi, hal tersebut penting supaya antara nikmat terbesar kemerdekaan tidak akan lagi terlepas dari tangan rakyat.