Malaysia Dateline

Tolak kerajaan ‘kawaq’, pintu belakang

Rakyat diajak menolak kerajaan kawaq atau pencuri sebagaimana yang diakui oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam perutusannya semalam.

“Kawaq ni kalau di kampung di Kedah, orang curi ayam dari reban. Tetapi kerajaan kawaq ni, dia curi mandat rakyat dengan cara pecah atap sebagaimana yang diakui oleh Haji Hadi,” kata bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar dalam satu siarannya malam tadi.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Kedah itu mengulas pengakuan Hadi bahawa kerajaan yang ada hari ini bukan kerajaan pintu belakang tetapi “pecah ikut atap”.

Bagi Mahfuz, perbuatan merampas mandat rakyat ini satu perbuatan yang tidak sah dalam sistem demokrasi pilihanraya .

“Mereka telah merompak dan mencuri mandat rakyat. Mereka memasuki rumah dengan cara pecah atap rumah untuk rampas kuasa rakyat sebagaimana yang diakui Haji Hadi,” kata Naib Presiden AMANAH itu.

Bagi Mahfuz, kenyataan Hadi ini satu kenyataan yang memalukan institusi ulama.

“Mana mungkin seorang ulama yang berjubah dan berserban tetapi berwatak seorang kawaq iaitu pencuri bagi orang Kedah.

“Kalau kawaq di kampung ni, dia curi ayam dari reban. Kawaq hari ini dia curi kuasa rakyat. Perbuatan atau kenyataan ini tidak sewajarnya di keluarkan oleh ulama yang berserban berjubah ini,” katanya.

Kerajaan Pintu Belakang

Bagi Mahfuz, semalam juga anggota Kabinet mengaku kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini sebagai kerajaan pintu belakang.

Mahfuz berkata, pengakuan pecah pintu belakang untuk bentuk kerajaan ini diakui oleh Datuk Annuar musa semalam.

“Setiausaha Agung Umno, Datuk Annuar Musa mengaku secara terbuka bahawa mereka memecahkan pintu belakang untuk merompak mandat rakyat yang telah diberikan kepada kerajaan Pakatan Harapan yang diberikan dalam pilihan raya umum yang lalu,” kata Naib Presiden AMANAH itu.

Bagi beliau kenyataan Annuar Musa itu adalah satu pengakuan terbuka oleh seorang anggota Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin.