Malaysia Dateline

Tolak kerjasama jika wujud PKR-Umno: AMK minta Syed Saddiq sedar diri

Pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dibidas sebagai tidak sedar diri apabila mengatakan parti itu menolak sebarang usaha kerjasama dengan PKR sekiranya wujud hasrat kerjasama PKR-Umno.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dzulhilmi Zainol berkata, Saddiq perlu sedar bahawa kerusi yang dimenanginya itu melibatkan sokongan daripada parti-parti di dalam koalisi Pakatan Harapan dan telah menumpang logo PKR pada kertas undian

Justeru katanya, Ahli Parlimen Muar itu sewajarnya fokus terhadap proses dan cabaran untuk meluluskan parti baru yang diasaskannya.

“Sekiranya pendaftaran tersebut sudah diluluskan dan menang dalam Pilihanraya Umum yang akan datang bersama koalisi dan gabungan yang dipilih, maka beliau mempunyai hak yang sepenuhnya untuk menyokong mana-mana individu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dzulhilmi berkata, persepsi bahawa akan wujudnya kerjasama politik antara PKR dan Umno hanyalah dakwaan yang tidak berasas.

Malah katanya, jika alasan terhadap semua dakwaan tersebut hanya merujuk rakaman audio yang tular, maka ianya tidak perlu diperbesarkan lagi kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah menafikan tuduhan tersebut.

Terdahulu, Syed Saddiq berkata, sekiranya berlaku sebarang usaha Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim untuk menjalinkan kerjasama bersama Umno, Muda tidak akan menyertai usaha tersebut.

Saddiq dalam wawancara bersama Utusan Online semalam berkata, beliau tidak akan berkompromi dalam hal-hal yang melibatkan kleptokrasi.

“Jadi pendirian saya, saya masih dalam blok pembangkang. Saya tidak ada masalah sokong Anwar, dasar-dasar pembaharuannya saya sokong.

“Tetapi berkenaan kerjasama politik, kalau tiba-tiba dia kata “Saddiq, sertai kerajaan bersama Zahid dan Najib”- saya akan kata, tidak mengapa dan saya akan tolak,” Katanya.