Malaysia Dateline

Tolak Mahiaddin: Semua MP PKR sah utus warkah kepada Agong

Sebanyak 35 Ahli Parlimen PKR telah mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong menolak Tan Sri Mahiaddin Md Yasin sebagai Perdana Menteri.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil dilapor berkata, kesemua Ahli Parlimen parti itu tidak menyokong dan menolak kepimpinan Mahiaddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu.

“Beliau (Mahiaddin) tidak patut berlengah dan hendaklah letak jawatan sekarang kerana telah hilang kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, berasaskan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan,” dipetik Malaysiakini.

Terdahulu, kesemua 105 Ahli Parlimen daripada PKR, AMANAH, DAP, Pejuang, Muda, Warisan, Parti Sarawak Bersatu dan Maszlee Malik (Bebas) dikatakan menghantar warkah menolak Mahiaddin.

Umno juga mendakwa 13 Ahli Parlimen parti tersebut menyerahkan surat menarik balik sokongan kepada wakil rakyat Pagoh dari Bersatu itu.

Untuk rekod, kerajaan PN diterajui Mahiaddin pada masa ini hanya mempunyai 100 kerusi Parlimen manakala seramai 120 anggota Dewan Rakyat lagi mendukung pembangkang.

Sesebuah parti atau gabungan perlu mempunyai sekurang-kurangnya sokongan 112 Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan.

Mahiaddin sudah tidak lagi mempunyai kerusi mencukupi untuk PN terus kekal sebagai kerajaan.