Malaysia Dateline

Tolak parti cetuskan kebencian kaum

Parti AMANAH Negara menyeru agar rakyat Malaysia menolak sekeras-kerasnya politik yang meniupkan sentimen kaum dan agama di negara ini.

Naib PresidenĀ  Datuk Mahfuz Omar menegaskan, parti politk yang cuba memainkan isu perkauman dan agama adalah dilabelkan sebagai sebuah parti yang gagal memperjuangkan nasib rakyat dan dilihat hanya sekadar mementingkan diri.

Tegas beliau, Malaysia merupakan sebuah negara yang amat unik kerana memiliki pelbagai kaum, adat dan budaya serta agama.

Oleh demikian, jelasnya sebagai rakyat yang bertanggungjawab, mereka haruslah mengelakkan api kebencian antara kaumĀ  agar negara ini terus utuh, harmoni dalam mengekalkan perpaduan yang berterusan pada masa akan datang.

“Marilah kita bersama-sama menolak parti yang cuba mencetuskan kebencian antara kaum dan agama yang semakin serius lebih-lebih lagi pada musim Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

“Justeru, kepada rakyat di negeri Sabah, kita janganlah terikut-ikut dengan cara politik itu. Mereka sudah bangkrap isu dan sebab itu mereka cuba cetuskan isu kaum dan agama,” jelasnya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra dan Dialoq bersama ahli-ahli AMANAH di Beaufort, Sabah pada Ahad.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi AMANAH Negara Negeri Sabah, Lahirul Latiji dan Ketua Kawasan AMANAH Beaufort Rahman Haji Ukim serta barisan kepimpinan negeri.

Justeru, Mahfuz yang juga merangkap Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, kerajaan kini fokus menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat terutamanya berkaitan kemudahan-kemudahan asas khususnya di Sabah.

“Sebagai kerajaan, kita akan sentiasa memberi tumpuan untuk membantu rakyat khasnya kepada penduduk Sabah ini.

“Namun janganlah kita terperangkap dengan dakyah yang cuba menanamkan sentimen kebencian antara kaum dan agama seperti yang dibawa oleh parti-parti yang sudah muflis isu,” tegas beliau lagi.

Sebelum ini, Presiden Parti Warisan Sabah, Mohd Shafie Apdal telah mengingatkan tindakan pemimpin kanan Umno yang berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis dengan kenyataan yang didakwa menghina bangsa dan agama rakyat negeri ini.

Mohd Shafie berkata sebagai pemimpin kanan Umno, beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang berbaur kaum dan agama.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan didakwa telah mengeluarkan kenyataan yang berbunyi, “(Dikatakan) pakai baju biru (Barisan Nasional) itu Malaysia, pakai baju putih (Parti Warisan Sabah) itu Filipina.

Susulan itu, Mohd Shafie memberi amaran untuk menyaman bekas menteri besar Negeri Sembilan berkenaan kerana memfitnah parti tempatan Sabah itu.