PM Anwar ajak rakyat tolak anasir perkauman, pemecah belah

Oleh BORHAN AHMAD

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru supaya tanah air ini dipertahankan daripada anasir perkauman yang memecah-belah.

Pengerusi Majlis Pimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan itu berkata, keamanan dan kestabilan kini menjadi maqasid utama agar kebajikan rakyat terbela.

Walau seinci pun, tegasnya, tidak sesekali dibiarkan sebarang usaha untuk merubah negara yang berperlembagaan dan berdaulat ini kepada negara perkauman yang huru-hara.

“Justeru, menjelang sambutan Hijrah 1445 ini, marilah kita bertekad untuk melakukan hijrah yang hakiki.

Berhijrah daripada kemungkaran kepada kebaikan, daripada kebejatan rasuah kepada amanah, daripada ketaksuban kepada minda yang merdeka, dan daripada perkauman sempit kepada taayush silmi (hidup bermuafakat),” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi perutusan sempena sambutan Maal Hijrah 1445 Hijrah yang dikongsi di laman Facebook dan Twitternya.

Menyoroti kembali sejarah penghijrahan Nabi Muhammad SAW dalam mendirikan kota Madinah, Anwar berkata, Rasulullah meletakkan asas tatacara dan tatakelola sistem pemerintahan Islam dengan pengajaran dan kefahaman mengenai soal akhlak, nilai dan prinsip.

Ahli Parlimen Tambun itu juga menegaskan dasar kenegaraan yang mencerminkan sikap rahmah dan adil buat semua terbit daripada didikan kerohanian.

“Walhasil, penghijrahan Rasul membenam faham perkauman. Pakatan para Muhajirin bersama Ansar, dan sebelumnya bersama Raja Ashamah, pemerintah negeri Habsyah mencerminkan semangat kerjasama dalam perkara makruf.

“Kota Madinah dilatari kepelbagaian agama, budaya dan bangsa kemudiannya didirikan atas nama umat yang satu. Demikianlah hijrah Rasul dan para sahabat menjadi ibrah segar sepanjang zaman,” katanya.

Majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1445H bertemakan “Perpaduan Teras Malaysia Madani” berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.