Malaysia Dateline

Tolak pemimpin khianati mandat rakyat demi wang

Rakyat Sabah diingatkan agar menolak pemimpin yang sanggup mengkhianati mandat rakyat demi untuk mendapatkan wang.

Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Mohd Shafie Apdal berkata, pemimpin seperti Jeffrey Kitingan merupakan antara yang harus ditolak kerana terlalu mudah berubah pendirian sekali gus sanggup mengkhianati pilihan rakyat.

“Bayangkan sebelum ini orang Tambunan undi dia, pasal dia cakap kita lawan Musa Aman, kita tumbangkan BN di Sabah. Kemudian dia menang, dia peluk Musa Aman.

“Pilihan raya (PRU14) mana ada BN menang. Kita sudah menang, kita ada 31 kerusi pasal Jeffrey juga pembangkang. Dia ada dua kerusi, kita ada 29 jadi semuanya 31 kerusi. Jam 11 malam dia hubungi saya, dia maklumkan mahu membentuk kerajaan.

“Dia mahukan jawatan Timbalan Ketua Menteri, saya beritahu Darrell Leiking, dia juga setuju. Kemudian dia kata akan jumpa saya,” tegasnya.

Tegas Shafie, namun, apa yang berlaku sebaliknya ialah apabila melihat televisyen, Jeffrey sudah berada di Sri Gaya, sudah peluk dan bersalam dengan Musa Aman.

“Dalam tempoh dua hari sebelum itu, dia lawan Musa Aman, kemudian dia boleh bertukar pendirian dalam sekelip mata.

“Saya tidak tahu apa dia mahu. Kalau dia mahu wang, saya bukan banyak duit tetapi Musa Aman banyak duit,” ujarnya beliau lagi.

Pemimpin seperti Jeffrey, tambahnya mudah berubah pendirian dan suka melompat parti, malaj jelas menggambarkan nilai yang diletakkan dalam dirinya.

“Janganlah kita meletakkan nilai diri serendah itu hingga sanggup meninggalkan rakan seperjuangan demi mahu mengejar jawatan.

“Saya kalau mahu, lagi tinggi pangkat saya tapi saya tidak mahu kerana saya berkerjasama dengan Ginger (Phoong Jin Zhe), Tan (Tan Lee Fatt), Jannie dalam pilihan raya lalu.

“Justeru, kita kena ada nilai dalam kehidupan untuk membezakan mana yang betul dan salah.

“Ini dibuktikan apabila saya sanggup kalahkan adik saya yang berlawan dengan calon Warisan Lahad Datu kerana saya tidak undi darah daging saya. Saya mengundi untuk rakyat Sabah demi memastikan perubahan berlaku,” katanya.

Pada masa sama, beliau memuji kerjasama yang baik bersama Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

“DAP sanggup mengorbankan lambang roket demi menyokong Warisan dan ini jelas memperlihatkan kesepaduan yang wujud antara Warisan Plus yang menggabungkan Warisan, DAP, PKR dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO),” ujar Shafie.