Tolak politik yang hanya pentingkan kelompok kecil bukannya kemaslatan umum

Tolak politik yang hanya pentingkan kelompok kecil bukannya kemaslatan umum

Empat pemimpin komponen Pakatan Harapan (PH) hari ini menyeru rakyat Malaysia supaya bersama-sama mempertahankan keharmonian dan keamanan negara dengan mengutamakan kepentingan umum.

Dalam kenyataan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu itu, mereka berharap rakyat Malaysia mengetepikan retorik yang boleh memusnahkan perpaduan nasional.

“Kita perlu ketepikan retorik yang merosakkan perpaduan. Kita perlu sanggah polemik yang berniat membinasakan negara. Kita perlu menolak politik yang hanya mementingkan kelompok kecil dan bukannya kemaslatan umum,” kata mereka.

Kenyataan itu dikeluarkan ekoran pelbagai isu yang dilihat mengancam perpaduan negara timbul baru-baru ini seperti pengenalan pengajaran seni khat di sekolah.

Mereka berpendapat rakyat Malaysia sudah pasti akan dapat terus menikmati apa yang diperoleh hari ini jika rakyat terus bersatu padu, mengukuh muafakat serta menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan menegakkan negara hukum.

“Semua rakyat Malaysia, tidak kira pangkat mahupun latar belakang perlu sentiasa memupuk perpaduan dan meningkatkan persefahaman sesama kita,” kata mereka.

Pimpinan utama PH turut berkata, kemajmukan kaum dalam negara ini perlu dipertahankan demi mencapai kerukunan hidup bermasyarakat yang sangat diperlukan di Malaysia.

“Kami percaya rakyat Malaysia kesemuanya cintakan keamanan dan keharmonian untuk terus bersama menikmati hidup dalam suasana aman.

“Oleh itu, marilah kita bersama-sama menyahut seruan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk melipatgandakan usaha bagi memastikan negara kita yang tercinta ini akan terus kekal sebagai sebuah negara yang makmur, dihormati dan disegani oleh semua,” kata mereka lagi.