Malaysia Dateline

Tolak sebarang formula penyebab darurat disambung lagi

Pengerusi Jawatankuasa Rayuan Penamatan Proklamasi Darurat, Khalid Abd Samad menegaskan pihaknya menolak sebarang formula yang hanya akan menyebabkan darurat berterusan.

Ahli Parlimen Shah Alam tersebut berkata, pengisytiharan darurat sejak Januari lalu telah gagal sepenuhnya dalam menangani pandemik Covid-19 secara efektif.

“Jawatankuasa kami percaya bahawa darurat perlu ditamatkan dengan seberapa segera dan Parlimen perlu bersidang semula supaya sistem semak-dan-imbang institusi demokratik negara dikembalikan.

“Jawatankuasa juga telah membuat keputusan menolak sebarang formula yang akan menyebabkan darurat disambung lagi.

“Kami sedar bahawa kuasa yang lebih luas tidak boleh diberikan kepada mana-mana badan yang dibentuk di luar proses demokratik ini,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, jumlah jangkitan Covid-19 di negara ini meningkat kepada 652,204 kes setakat semalam dengan jangkitan baharu melebihi 5,000 kes setiap hari sejak 19 Mei lalu.

Sehubungan itu, Khalid yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH berkenaan memberitahu pihaknya telah menyerahkan pemohonan rasmi untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 20 April lalu.

“Jawatankuasa telah membuat keputusan untuk mengutuskan sepucuk surat lagi bagi menyatakan hajat bagi membentangkan memorandum bersama petisyen yang telah kami kumpulkan kepada Yang di-Pertuan Agong,” tambahnya lagi.