Malaysia Dateline

Tolak suara akar umbi, Umno 3.0 akan dihukum lebih dahsyat, kata Najib

Najib Tun Razak memberi gambaran nasib Umno akan jadi seperti Pas jika Umno bertentangan dengan suara akar umbinya.

Menurut Najib, sejarah bakal berulang sebagaimana sebilangan pemimpin Pas kalah teruk dalam pemilihan Pas tahun 2015 sebab mereka bertentang dengan suara akar umbi Pas.

“Dan akhirnya mereka yang kalah telah keluar dan membawa lari kerusi dari Pas tubuh parti PAN.
Inilah kebimbangan saya. pada parti tersayang saya,” kata Najib.

Bahkan beliau percaya jika niat pemimpin-pemimpin Umno 3.0 ini adalah untuk menentang kehendak dan suara akar umbi maka mereka akan dihukum dengan dashyat dalam pemilihan parti yang melibatkan 160,000 perwakilan.

Mengulas spekulasi kemunculan pimpinan baru Umno 3.0, Najib berkata, sesiapa yang ingin mengambil alih pimpinan tertinggi parti perlu peka dan akur kepada kehendak akar umbi.

“Jika niat pemimpin-pemimpin “Umno 3.0” ini ialah untuk mengambil alih parti hanya supaya Umno akan sokong parti lain untuk menjadi PM maka ini bertentangan dengan suara akar umbi yang tidak mahu bekerjasama dengan PPBM.

“Kenapa pula mereka mahu sokong parti lain yang telah merampas kerusi-kerusi Umno melalui lompatan katak, menindas Umno, pernah membeku akaun Umno dan pernah cuba membatalkan Umno?

“Kenapa mereka mahu sokong parti yang ternyata gagal dalam pentadbiran ekonomi dan Covid negara?” soal Najib.

“Kenapa mereka tetap sokong parti yang terus memberi alasan mengarut kenapa parlimen tidak boleh bersambung dan demokrasi tidak dapat dipulihkan?

“Kenapa mereka ingin sokong parti lain yang mendapat sokongan paling corot dalam survei-survei seperti survei UUM, survei Sinar Harian-SinChew, IDE dan UtusanTV baru-bari ini?” soalnya lagi.

Malah beliau sangsi adakah rancangan “scheme of things” untuk pecahkan Umno sudah berjaya dan ramai telah disogok dengan jawatan-jawatan dalam kerajaan.

Sehubungan itu, Najib berkata sama ada Zahid kekal sebagai presiden atau diganti dengan pemimpin lain secara mutlak ataupun secara sementara dalam masa terdekat bukan isu paling penting sebab itu proses demokrasi melalui pemilihan parti dan keputusan MKT.

“Akur dengan keputusan akar umbi,”katanya.

Terdahulu, timbul spekulasi untuk menyingkirkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan pendahulunya Najib Razak dari pentas politik menjelang Ogos ini.

Dikatakan akan munculnya Umno 3.0 bakal mempunyai kepimpinan baharu yang akan bekerjasama dengan PPBM dan Pas.