Tolak UEC, GAMIS desak seluruh Ahli Parlimen perkasa sistem pendidikan negara

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membacakan lima tuntutan GAMIS mendesak kerajaan tidak melayan pengiktirafan UEC.

Seluruh Ahli Parlimen (MP) mesti sebulat surat menolak pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) sama ada dalam perbahasan Parlimen dan di media sosial kerana bercanggah dengan Akta Pendidikan 1996.

Itu salah satu daripada lima tuntutan Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (GAMIS) dalam memorandum bantahan yang diterima oleh Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man di Parlimen hari ini.

“GAMIS menegaskan pengiktirafan EUC tidak harus diterima sama ada dilaksana hari ini atau kemudian hari,” kata Tuan Ibrahim membacakan kandungan memorandum tersebut.

Presiden GAMIS, Muhammad Faizuddin Mohd. Zai dalam memorandum itu juga menuntut kesemua MP memboikot mana-mana pihak yang memberi paksaan atau tekanan kepada kerajaan supaya mengiktiraf UEC kerana jelas memelihara kepentingan pihak tertentu dan mengundang krisis polarisasi kaum.

Tiga lagi tuntutan GAMIS terhadap seluruh MP adalah:

– memastikan sistem pendidikan negara diperkasa dan mampu menyatukan masyarakat majmuk seperti terangkum dalam matlamat Penyata Razak dan Laporan Rahman Talib.

– menggubal undang-undang atau meminda peruntukan agar setiap sekolah di Malaysia sama ada di bawah kerajaan dan persednriian wajib menyediakan kelas Bahasa Melayu dan Sejarah menggunakan kurikulum kebangsaan kepada pelajar-pelajar mereka.

– merombak sistem UEC supaya selaras dengan sistem pendidikan kebangsaan agar perpaduan nasional antara kaum diperkasakan dari semasa ke semasa.

Memorandum GAMIS itu turut memberitahu bantahan terhadap UEC disokong gabungan lebih 300 NGO Islam atau ringkasannya Ummah.

Ultra Cina

Pada 21 Julai lalu, lebih 200 mahasiswa mengadakan bantahan menggesa kerajaan tidak melayan tuntutan mengiktiraf UEC selama tiga jam bermula pukul 2 petang di pekarangan pusat beli-belah Sogo di ibu negara.

Difahamkan gabungan itu melibatkan mahasiswa daripada beberapa universiti awam antaranya Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Untuk rekod, Dong Zong telah lama mendesak parti pemerintah sebelum ini melalui MCA dan Gerakan serentak tekanan kepada parti pembangkang terutama DAP untuk mengiktiraf UEC setiap kali kempen pilihan raya umum (PRU).

Hasilnya kedua-dua blok politik itu bersetuju dengan desakan kumpulan ultra Cina tersebut apabila pengiktirafan UEC untuk memasuki universiti awam dan berkhidmat di sektor kerajaan terkandung dalam manifesto PRU masing-masing antaranya pada 1999.

Janji untuk mengiktiraf UEC yang kurikulumnya berpandukan sistem pendidikan Taiwan dan China itu juga terdapat dalam Buku Jingga yang disepakati Pakatan Rakyat menjelang PRU-13.

Bahkan pada PRU-14, UEC juga muncul dalam manifesto BN dan PH.

Lebih 200 mahasiswa berdemonstrasi bantah UEC di ibu negara, 21 Julai lalu.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS