Malaysia Dateline

Tolak Undi18 bermakna tolak anak muda, dakwa Wanita Muda

Kenyataan Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan Tan Sri Rais Yatim bahawa pelaksanaan Undi18 sukar dilaksanakan adalah suatu yang amat mengecewakan.

“Tindakan ini bukan sahaja menidakkan anak muda untuk melibatkan diri dalam menentukan hala tuju negara malah menafikan suara mereka,” kata Ainie Haziqah, Ketua Wanita Muda Negara.

Keputusan Undi18 telah diluluskan pada 16 Julai 2019 oleh Dewan Rakyat melalui sokongan seramai 211 ahli menyokong iaitu majoriti lebih dua pertiga dewan.

Speaker Dewan Negara, Rais baru-baru ini berkata, Undi 18 tidak praktikal sekarang ketika menolak pelaksanaan pengundi bermula umur 18 tahun itu.

Jika Rais mewakili Dewan Negara bermakna Undi 18 tidak boleh dijalankan tanpa penerima dan pelaksanaan oleh badan yang mewakili sebahagian Parlimen itu.

Bagi Ainie, Undi18 akan memberi peluang kepada anak muda untuk turut menentukan dasar dan pembangunan negara serta mengukuhkan sistem demokrasi.

“Anak muda sekarang hidup dalam zaman digitilisasi dan ramai antara mereka membincangkan tentang isu-isu nasional seperti pelajar universiti dan sekolah menengah,” kata beliau menolak pemikiran Rais yang dianggap mewakili pemikiran pemimpin Bersatu kalau pun bukan pemikiran pemimpin kerajaan Perikatan Nasional sekarang.

“Jangan kita pernah menafikan suara anak muda yang merupakan generasi pimpinan negara pada masa akan datang,” katanya lagi.

Langkah ini juga, katanya, membolehkan anak muda melihat hak mereka diiktiraf lebih awal sekaligus meningkatkan pembabitan mereka dalam politik serta mengasah keupayaan kepimpinan.

Sehubungan dengan itu, beliau meminta Kerajaan PN perlu menyatakan pendirian yang jelas berkenaan Undi 18.

“Saya menggesa kerajaan untuk segera menggazet Undi18 yang telah diluluskan di Dewan Rakyat,” kata beliau.

Pelaksanaan Undi18 diperjuangkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan melalui Kementerian Belia dan Sukan ketika menterinya adalah Syed Saddiq Abdul Rahman.

Syed Saddiq adalah Presiden Protem penubuhan parti Muda.