Malaysia Dateline

Tolak Undi18 penghinaan kepada anak muda

Keputusan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk menangguh pendaftaran pemilih secara automatik dan undi 18 tahun merupakan satu tamparan dan penghinaan kepada anak muda.

Pendaftaran pemilih secara automatik dan undi 18 tahun telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 16 Julai 2019 yang lalu dibawah pemerintahan Pakatan Harapan. Selang beberapa hari kemudian, Dewan Negara juga turut meluluskan pindaan tersebut dan sepatutnya mula dikuatkuasa pada bulan Julai tahun ini.

Seramai 1.2 juta anak muda yang berumur 18 hingga 20 tahun akan mula melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada Pilihanraya Umum (PRU) kelak. Namun,semangat dan cita-cita anak muda untuk melibatkan diri dalam menentukan dasar dan mewarnai masa depan Malaysia melalui peti undi telah dirampas oleh kerajaan Perikatan Nasional.

Ini membuktikan bahawa kerajaan Perikatan Nasional masih gagal menarik sokongan anak muda setelah mereka turut gagal dalam menjaga kebajikan anak muda terutama sekali dalam soal pendidikan dan peluang pekerjaan.

Keputusan ini bukan sahaja menghina anak muda, bahkah turut menghina Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Keputusan menolak Undi18 juga seolah-olah terancang apabila ia bermula dengan Speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim, yang juga pemimpin Bersatu diikuti dengan pelaksanaannya oleh SPR.

Anak muda seharusnya diberi ruang dan peluang dalam meraikan sistem demokrasi negara dengan membuat pilihan yang bijak semasa pilihanraya bagi menjamin dan menentukan masa depan mereka.