Tolong jangan buat laporan polis, titah Raja Permaisuri Agong

Tolong jangan buat laporan polis, titah Raja Permaisuri Agong

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah supaya orang ramai tidak membuat laporan polis terhadap pihak yang membuat komen negatif terhadap baginda.

Titahnya, akaun Twitter miliknya @cheminahsayang dinyah aktif bukan kerana sedih atau marah sebaliknya disebabkan hal peribadi.

Baginda juga memberitahu tidak membaca atau tidak menyedari tentang komen negatif yang dimuat naik segelintir pengguna media sosial.

“Saya menyah-aktifkan akaun bukan kerana sedih, terasa atau marah pada komen-komen mereka. Saya sendiri tidak membaca dan sedar mengenai perkara itu.

“Ia tiada kaitan. Saya ada sebab peribadi, tolong jangan buat laporan polis,’’ titah Tunku Azizah.

Tulisan Tunku Azizah itu turut dikongsi anakanda baginda, Tengku Puteri Afzan Aminah dalam laman Twitternya hari ini.

Baru-baru ini warga maya di Twitter mengecam beberapa individu yang mengeluarkan kata-kata biadab terhadap Tunku Azizah.

Bagaimanapun, seorang pemuda kemudiannya tampil membuat permohonan maaf semalam.

Pada masa sama, warga maya melancarkan kempen dengan tanda pagar #AmpunTuanku bagi ‘memujuk’ Raja Permaisuri Agong mengaktifkan semula akaun Twitter rasminya.