Malaysia Dateline

Tolong jangan heret PH ke kancah perpecahan

Ahmad Lutfi OthmanMeskipun saya mengelak untuk membuat ramalan, apa bakal terjadi jika barisan pembangkang berpecah andaikata cadangan regu Mahathir-Anwar ditolak, namun masih ada teman yang meluahkan rasa risau amat sangat dengan masa depan Pakatan Harapan (PH).

Di kala banyak pihak menjangkakan Perikatan Nasional (PN) bakal bergolak hebat khasnya berkait agihan kerusi PRU15, dengan andaian Bersatu akan diketepikan, timbul pula ramalan PH juga akan bertembung sesama sendiri.

Ada pihak mengandaikan sekiranya PKR bertegas menolak Mahathir, manakala AMANAH dan DAP tetap melihat pilihan menyokong Mahathir sebagai PM lebih praktikal, besar kemungkinan kesatuan pembangkang berpecah.

Saya ada bertanya kemungkinan itu kepada Presiden AMANAH, Mohamad Sabu yang mengunjungi saya pagi tadi (Selasa 16 Jun).

Beliau dilihat tidak selesa, tetapi tetap menjawab, pendek, “na’uzubillah”.

Saya terus menukar topik perbincangan. Amat tidak manis berteori tentang suatu kemungkinan buruk hanya beralaskan andaian.

Saya cuba “bermain” dengan unjuran senario terburuk agar kita sedaya upaya mengelaknya.

Usah pandang rendah kemungkinan kita terjebak dalam perangkap yang kita pasang sendiri.

Sejarah pendek politik tanahair merakamkan pergeseran oposisi yang membawa keretakan dan perpecahan teruk.

Misalnya, Angkatan Perpaduan Ummah yang muncul bergaya dalam PRU1990. Gabungan ini berkubur selepas PRU1995, seterusnya Semangat 46 lebur apabila parti Melayu itu menyertai Umno.

Barisan Alternatif tampil gagah pada PRU1999 tetapi konflik Pas-DAP menggegarkannya menjelang PRU2004. Impak buruknya dapat diminimumkan sebab Pas-DAP tidak berkonfrontasi secara terbuka (lagipun kedua-dua parti ini tidak bersaing di kontituensi yang sama) dan tak rasmi masih terus berhubung.

Pakatan Rakyat (PR) menyuntik harapan besar untuk menukar kerajaan pada PRU2008, dan meneruskan momentum pada PRU2013, tetapi ranap pada 2015.

Justeru, tidak mustahil PH yang mampu menumbangkan Umno-BN pada 2018 turut goyah jika isu cadangan perdana menteri sekarang tidak diuruskan dengan bijaksana.

Secara peribadi, saya merayu semua ketua- ketua parti PH+, iaitu Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu, Lim Guan Eng, Dr Mahathir Mohamad dan Shafie Apdal, redakanlah perselisihan dan segera cari titik temu. Imej PH tercemar dengan kontroversi isu ini.

Jika gagal bersepakat sekalipun dalam isu PM ini, jangan heret ke kancah persengketaan yang lebih tajam.

Maaf, saya terlihat macam ada bibit-bibit ke gaung kelam itu.

Ia cukup merisaukan saya.

Tidak dapat saya gambarkan jika perselisihan ini sampai membawa kepada pertembungan sesama sendiri dalam pilihan raya.

Pedih berdada dengan krisis dalaman Pas belum pun hilang, tak sanggup saya berdepan konflik dengan PKR pula.

Lebih 20 tahun kita bersama, mengharungi zaman gelora, menghayati idealisme perjuangan Reformasi, dihambat tribulasi, memupuk persahabatan tulen, tiba-tiba terpaksa bercerai-tanggal …. mohon dijauhkan Allah.

Jangan paksa kami, penyokong bawahan ini, kebengongan memahami realiti baru yang menakutkan itu.

BERSAMBUNG..