Malaysia Dateline

‘Tolong letak jawatan, jangan malukan ERC’, tempelak Maria Chin

Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah hari ini membuat gesaan agar Tan Sri Abdul Rashid Abd Rahman melepaskan jawatan kerana gesaan menggunakan kedudukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai kerajaan bagi menyalurkan sumber dan projek kepada ketua bahagian parti itu untuk menang pilihan raya.

“Tolong letak jawatan dan jangan memalukan ERC dan Malaysia baharu.

“Apa beza antara anda dan Najib?”,soalnya di dalam twitternya hari ini.

Abdul Rashid adalah Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem Dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) yang dilantik pada Ogos lepas oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Bekas Pengerusi Bersih 2.0 ini juga berkata, beliau memuji tindakan Ketua Armada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Parti AMANAH Negara yang turut  menentang budaya buruk ini.

[email protected] & @ Parti AMANAH yang menentang budaya buruk ini,” ujarnya.

Tan Sri Abdul  Rashid Ab Rahman

Semalam, Abdul Rashid menempelak pihak yang membantah gesaan perwakilan agar kerajaan memberikan jawatan dan kontrak agar parti itu dapat mengekalkan kuasa.

Kata-kata itu selepas Syed Saddiq mengecam beberapa perwakilan membuat gesaan itu.

Beliau menyifatkan bantahan itu sebagai “pandangan bodoh,” ketika sesi penggulungan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu ke-2 semalam dan disambut dengan tepukan gemuruh dikalangan perwakilan.

“Dalam PRU kita kena menang by hook or by crook – dengan apa cara sekalipun – kita kena menang.

“Semua ketua bahagian mesti mendapat aktiviti (dan) peluang (bagi membolehkan mereka) mampu dari segi kewangan dan pertahankan kedudukan,” kata Rashid yang juga bekas pengerusi SPR.

Rashid pernah menjadi setiausaha SPR pada 1979 hingga 1995,Timbalan Pengerusi SPR sejak 1997 hingga 2000 dan Pengerusi SPR dari 2000 hingga 2008.

Pada 16 Ogos lalu, kerajaan menubuhkan ERC untuk mengkaji semula sistem dan undang-undang pilihan raya di negara ini.

ERC mempunyai 11 ahli dan ada cadangan menambah keahliannya kepada 18 orang terdiri daripada wakil BN, Bersih, Merdeka Centre, SPR dan badan bukan kerajaan dari Malaysia Timur.