Malaysia Dateline

Tolonglah berhati perut, lelaki ini bagitahu kenapa ada orang tak mampu beli insurans, jangan main sindir

Tular satu tangkap layar dipercayai dari seorang ejen insurans yang menyindir orang yang masih tidak mempunyai pelan perlindungan diri seperti kad perubatan (medical card).

Menerusi kapsyen dalam gambar yang tular itu, ejen tersebut menulis “Dah 2022 tak ada medical card? Lemah. Live update dari Hospital Selayang. Macam tempat perang”.

Gambar berkenaan kemudian mendapat perhatian seorang perunding kewangan serta perunding pelan hibah, Zafran Mustafa yang menegur sikap tidak sensitif ejen tersebut.

Dia berkata, cara tersebut sama sekali tidak betul biarpun niatnya mahu menyedarkan orang ramai untuk mengambil medical card kerana ia seolah memperlekeh orang yang belum mampu membeli pelan bulanan tersebut.

“Saya nak nasihat sikit kepada ejen-ejen yang ada pemikiran macam ni. Tolong jangan memperlekehkan orang yang belum ada medical card.

“Saya faham yang dia ni mungkin nak tunjuk adanya medical card tu bagus dan tak perlu bersesak seperti di hospital kerajaan. Tapi cara ini tak betul,” ciapnya di Twitter.

Kena tahu kenapa orang masih tiada medical card lagi

Zafran memberitahu ada sebab mengapa sehingga sekarang masih ada lagi orang yang tak mampu mendapatkan pelan insurans seperti medical card.

Pertamanya, mereka memang nak sangat ada medical card tapi tak mampu. Kita kena letak diri kat tempat orang lain juga. Ini dinamakan empati.

Mungkin bagi kita RM80 hingga RM100 untul medical card asas tu mudah je nak dapat.

Tapi tak semua orang mampu terutamanya apabila nak beri komitmen dalam jangka masa yang panjang. Tak dinafikan juga ramai lagi yang kais sebulan, makan setengah bulan je.

Terutamanya apabila sudah berkeluarga. Jadi, tolong berhati perut sikit bila luahkan sesuatu.

Kelangsungan hidup tetap perlu jadi nombor satu, tiada guna jika mencarum medical card tapi tak ada duit untuk perbelanjaan bulanan.

Yang kedua, ramai je yang memang nak sangat buat medical card, duit pun tak ada masalah, tapi tak boleh buat sebab masalah kesihatan.

Penyakit kronik/kritikal dah ada. Diabetis dah ada. Masa sihat dahulu, belum mampu. Bila dah mampu, penyakit pula ada. Bukan diorang sengaja nak jatuh sakit.

Kalau diberi peluang orang sakit pun boleh lulus, saya jamin ramai beratur nak buat. Ini termasuklah yang BMI tak sihat juga boleh buat medical card ditolak.

Ketiga, belum ada kesedaran lagi. Kehidupan kita ni dikelilingi manusia. Kalau circle kita tu memang belum ada yang diceritakan mengenai kepentingan adanya medical card ni, jadi kesedaran tu belum tentu akan ada. Inilah tanggungjawab kita, bukan hanya ejen, tetapi orang biasa.

Bagitahu adik beradik kita, saudara mara kita dan kawan-kawan. Mereka perlu tahu. Bayangkanlah kita menjadi penyebab urusan kesihatan mereka jadi lebih mudah sebab ada medical card? Kan lebih baik macam tu?

Lastly, memang ada yang dah tahu kepentingannya, duit pun ada tapi tak nak ambil. Sebab apa? Sebabnya sekarang masih sihat.

Percayalah cakap saya, apa yang keluar dari mulut orang sewaktu mereka sihat dan sewaktu mereka sakit, pasti berbeza. Kalau yang macam ni, kita hanya mampu berdoa sahaja supaya mereka diberi kesedaran awal.

Kena ingat, fokus kita ialah untuk bantu orang lain. Kita nak seramai mungkin orang dan keluarga ada perlindungan takaful ni.

Memanglah untuk cari rezeki diri sendiri, tapi kan bagus kalau kita dapat bantu orang sekali? Jadi, berhemahlah apabila buat sesuatu atau mengajak orang daftar medical card/hibah.

Janganlah guna cara menyindir dan yang seangkatan dengannya.

Hospital kerajaan bagus sebenarnya tapi ramai yang perlukan perkhidmatan itu

Kepada yang terdetik nak buat, hospital kerajaan kita sangat bagus sebenarnya. Cuma, bilangan orang yang memerlukan perkhidmatan tu terlalu ramai.

Bila ramai yang ada medical card, korang sebenarnya membantu orang lain yang lebih memerlukan supaya dapat rawatan lebih cepat di hospital kerajaan.

Jadi, kita bukan hanya bantu diri sendiri, kita dapat bantu orang lain juga.

Saya sentiasa berharap ramai yang dapat sedar betapa pentingnya medical card ni. Buatlah sewaktu sihat, kerana orang yang sakit, tak boleh dah buat medical card.