“Tolonglah kalau bercakap mengenai saya, buang nama Siti” – Tun Dr Hasmah

Oleh WAN SITI AMINAH

Isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu Tun Dr Hasmah kembali mencuri perhatian selepas membuat pendedahan mengenai namanya yang sebelum ini dikenali sebagai Siti Hasmah.

Menurut Tun Dr Hasmah Mohamad Ali, dirinya dilahirkan dengan nama sebenar iaitu Hasmah sahaja bukanlah ‘Siti Hasmah’ seperti yang digelarkan oleh orang ramai sebelum ini.

Jelasnya, ‘Siti’ sebenarnya adalah gelaran yang diberikan selepas beliau dan Dr Mahathir berpindah dari Alor Setar, Kedah ke Kuala Lumpur ketika nama berkenaan menjadi fenomena pada saat itu.

“Saya perlu betulkan. Saya bukan Siti. Saya tidak dilahirkan sebagai Siti Hasmah. Saya hanya dilahirkan (dengan nama) sebagai Hasmah. Ketika itu ada Siti Nurhaliza.

“(Kemudian) ada Siti itu, ada Siti ini. Jadi mereka letakkan nama Siti di hadapan nama saya. Tetapi saya bukan (Siti Hasmah), saya hanya Dr Hasmah.

“Jadi tolonglah, lain kali kalau bercakap dengan orang mengenai saya, buanglah nama Siti,” kata wanita berusia 98 tahun itu berharap namanya tidak lagi dikaitkan dengan Siti.

Perkara itu didedahkannya dalam satu sesi audio siar atau ‘podcast’ disiarkan menerusi akaun Instagram milik Pusat Perubatan Prince Court yang turut menampilkan Dr Mahathir.

Tun Dr Hasmah mendedahkan perkara berkenaan ketika membetulkan pengendali podcast ‘Coffee with Ryan’ iaitu Datuk Dr. Ryan Ponnudurai yang menggelarkannya Tun Dr Siti Hasmah.

Datuk Dr. Ryan juga yang merupakan Pakar Perunding Gastroenterologi di Pusat Perubatan Prince Court itu kemudian mengucapkan terima kasih kepada Tun Dr Hasmah kerana memberitahu perkara sebenar.

Untuk rekod, Tun Dr Hasmah dan Tun Dr Mahathir sudah berkahwin selama 68 tahun dan mereka berpindah ke Alor Setar selepas mendirikan rumah tangga sebelum kembali menetap di Kuala Lumpur.

Sekadar info, Dr Hasmah adalah wanita Malaysia pertama dilantik sebagai pegawai perubatan di Jabatan Kesihatan Ibu dan Anak serta wanita Malaysia pertama memegang jawatan Pegawai Kesihatan Ibu dan Anak negeri.

Baca juga: Buat hal! Kedai runcit sorok lebih 900 kg minyak masak bersubsidi diserbu KPDN