Malaysia Dateline

Tommy salah tafsir perletakan jawatan PM dan Kabinet, dakwa peguam

Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dianggap melakukan kesilapan dalam menafsir perlembagaan terutama berhubung perletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan pembubaran jemaah menteri.

Peguambela dan Peguamcara, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, buku terbaru terbitan Thomas di halaman 472 antara lain menyatakan bahawa hanya Tun Mahathir yang meletakkan jawatan dan ianya tidak bermakna perlu disusuli dengan perletakkan jawatan Kabinet.

Buku yang disebutkan berjudul ‘My Story: Justice in the Wilderness’.

Menurut Muhammad Rafique, Thomas melakukan kekhilafan pada pentafsiran keperlembagaan di mana ianya adalah bercanggah dengan peruntukan Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan

“Pada dasarnya, Tan Sri Tommy mengatakan bahawa apabila Tun Mahathir selaku Perdana Menteri meletak jawatan di atas kehendaknya sendiri, maka Jemaah Menteri masih boleh menjalankan fungsinya dan tidak terbubar.

“Namun dari segi keperlembagaan, apabila seseorang Perdana Menteri itu telah meletak jawatan, maka seluruh Jemaah Menteri akan turut juga terbubar.

“Sama ada perletakkan jawatan tersebut dilakukan atas kehendak dan kerelaan sendiri atau sebaliknya, ianya juga adalah tidak relevan kepada kedudukan Jemaah Menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad Rafique mendakwa, Thomas cuba menyampaikan bahawa perletakan jawatan Tun Mahathir hanya melibatkan bekas Perdana Menteri itu sahaja dan seharusnya tidak melibatkan Kabinet untuk meletakkan jawatan.

Ini kerana menurut Thomas, Perdana Menteri meletakkan jawatan di atas kehendaknya sendiri dalam kapasiti hanya sebagai Perdana Menteri meskipun masih mempunyai sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Bagaimanapun Muhammad Rafique berkata, pada 24 Februari 2020, fakta adalah jelas bahawa Tun Mahathir pada ketika itu telah kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat susulan keputusan Bersatu dan sebahagian PKR dari blok Datuk Seri Azmin Ali, keluar daripada Pakatan Harapan (PH).

Dakwanya, jika sekalipun seseorang Perdana Menteri itu meletakkan jawatan dalam keadaan beliau masih memiliki sokongan majoriti seperti yang berlaku pada 2003, ianya juga adalah tidak relevan kepada kedudukan Jemaah Menteri.

“Pokok pangkalnya, ‘perletakan jawatan Perdana Menteri maka secara automaktiknya seluruh Jemaah Menteri akan terbubar’.

“Tidak kiralah sama ada perletakkan jawatan tersebut dilakukan atas sebab kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat atau sebaliknya dan/atau sama ada di atas kehendak diri sendiri atau sebaliknya,” katanya lagi.