Tommy Thomas peguam berprinsip, kata bekas kakitangan

Ashikin (kiri sekali) ketika bertugas dengan Tommy Thomas.

Bekas kakitangan Peguam Negara yang baru Tommy Thomas menyifatkan beliau sebagai seorang peguam yang tegas dan berprinsip serta banyak mengambil kes secara percuma (probono).

Ashikin Rahim yang pernah bertugas dengan Tommy dalam tulisannya berkata, Tommy seorang yang selalu memberi perhatian yang lebih kepada kes yang melibatkan litigasi kepentingan awam.

Selepas Tommy dipilih, tulisan Ashikin yang kini membuka firma sendiri, Kin & Co kini tular di laman media sosial berkenaan pendedahan sisi lain Peguam Negara yang baharu ini.

Beliau yang pernah berkerja di firma guaman Tommy Thomas sehingga April 2013 berkongsi pengalaman berkerja kepada umum agar sedikit sebanyak dapat memberi gambaran siapakah Peguam Negara yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong semalam.

“Saya ambil keputusan untuk bercerita berdasarkan pengalaman peribadi, dengan harapan kita semua boleh mengenali beliau (Tommy Thomas) dengan lebih baik secara peribadi, berbanding menghakimi beliau hanya berdasarkan bangsa dan agamanya,” tulis beliau.

Katanya, mereka banyak mengambil kes untuk kepentingan awam.

“Saya banyak ditugaskan mengambil kes PIL (kes kepentingan awam), kami lakukannya secara probono (percuma), kami lawan untuk kes persatuan penduduk, untuk negeri yang diperintah pembangkang (termasuklah negeri yang diperintah Pas), orang miskin yang terkesan dengan keputusan kerajaan, orang miskin yang ditipu dalam pelaburan dan banyak lagi,” tulis Ashikin.

Menurut Ashikin, Tommy Thomas juga mahir tentang Perlembagaan Persekutuan.

“Kesemua jurnal Malayan Law dan All England Reports telah pun dibaca oleh Tommy Thomas dan beliau menulis nota di dalam buku nota kecilnya.

“Beliau tahu tentang undang-undang, Inggeris dan Malaya,” katanya.

Peguam Negara yang baharu ini juga disifatkan oleh Ashikin seorang yang ‘bersih’ dan boleh dipercayai.

“Beliau tidak akan tipu di dalam dan di luar mahkamah, beliau tetap akan memetik rujukan kes yang tidak memihak kepada kami, kerana itulah undang-undang,” katanya.

Tommy dilantik sebagai Peguam Negara selepas beberapa hari akibat dari bantahan kerana kononnya beliau bukan Melayu dan tidak fasih berbahasa Melayu.

5.7
OVERALL SCORE
: 7.0
2 user votes x 5.0