Tontonan Blood Brothers terganggu gara-gara tangisan bayi, individu beri pesanan kepada ibu bapa

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang individu berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas berkongsi situasi yang dialaminya ketika menonton filem Blood Brothers: Bara Naga di pawagam di sebuah pusat beli-belah.

Menerusi satu hantaran dimuat naik di platform TikTok, individu terbabit berkongsi rakaman di dalam pawagam ketika filem tersebut ditayangkan di mana tangisan bayi dapat didengari dengan jelas.

Bayi tersebut dipercayai dibawa masuk ke dalam ruangan tersebut oleh ibu bapa yang menonton filem itu sehingga membuatkan situasi berkenaan mungkin menjadi kurang menyenangkan kepada penonton lain.

Hal ini kerana bayi tersebut dikatakan menangis di dalam tempoh sekitar 20 minit sekali gus agak menganggu sesi tontonan filem Blood Brothers: Bara Naga arahan Syafiq Yusof bersama Abhilash Chandra itu.

Kejadian ini mendorong individu terbabit untuk membuat teguran secara terbuka sebagai pengajaran kepada para ibu bapa supaya tidak membawa bayi masuk ke dalam pawagam.

Individu itu juga memberikan peringatan bahawa sistem bunyi digital dalam pawagam agak kuat dan tidak sesuai didengari oleh bayi kerana boleh menganggu ketenangan mereka lalu menyebabkannya menangis.

@therizz7

Awareness!! Parents alert sama kesian dekat org lain yg bayar tiket tapi 20minit dengar baby cry 😵‍💫 sound system tu kuat kalau boleh jangan la bawa babyy !! #aeonmall #baranaga #bloodbrother

♬ Baby’s cry – ISAo

“Ini adalah untuk kesedaran. Ibu bapa diminta untuk lebih peka. Kasihanlah dekat orang lain yang sudah bayar tiket tetapi dengar tangisan bayi di dalam tempoh sekitar 20 minit.

“Sistem bunyi digital di dalam pawagam itu kuat. Kalau boleh, janganlah bawa bayi,” kata individu berkenaan di ruangan kapsyen video yang menunjukkan filem Blood Brothers: Bara Naga sedang ditayangkan.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna bersetuju bahawa bayi tidak sesuai untuk dibawa masuk ke pawagam selain berkongsikan pengalaman peribadi mereka berdepan situasi sama.

Berikut adalah antara komen yang ditinggalkan oleh pengguna TikTok.

Baca juga: Kurang tawaran berlakon lepas menang anugerah utama, Bell Ngasri tetap luah rasa syukur