Tony Fernandes mahu jadikan Port Dickson macam Dubai

Pengerusi Kumpulan Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes teruja untuk menjadikan Port Dickson sebagai destinasi transit yang berjaya sepertimana Dubai.

Menerusi perkongsiannya di akaun LinkedIn, Tony menganggap fokus yang diberikan kepada Port Dickson ketika ini memperkuatkan lagi sokongan yang telah diberi dalam usaha membangunkan ‘permata belum digilap’ ini sejak bertahun dulu.

“Kedudukannya berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjadikannya berpotensi untuk menjadi seperti Pantai Jumeriah di Dubai versi Malaysia untuk pengangkutan penumpang.

“Pembangunan seperti pusat konvensyen, pusat beli-belah serta pusat peranginan antara projek yang kami percaya mampu bawa Port Dickson ke tahap yang baharu.

“Kalau syarikat Emirates mampu bawa penumpang sehingga menjadikan Dubai sebagai destinasi persinggahan yang berjaya.

“Kami berhasrat untuk menggunakan model sama di Port Dickson memandangkan kami telah berjaya mengangkut penumpang dengan jumlah yang lebih besar daripada mereka,” katanya dipetik dari Astro Awani.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
2 user votes x 10.0