Tony janji jadikan padang Stadium Nasional Bukit Jalil terbaik di Asia

Tony janji jadikan padang Stadium Nasional Bukit Jalil terbaik di Asia

Selepas menerima banyak keluhan mengenai isu kualiti padang di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Tan Sri Tony Fernandes memberi jaminan akan melakukan penambahbaikan untuk muncul yang terbaik di Asia.

Sambil menegaskan keadaan padang tidaklah terlalu teruk, katanya, beliau memastikan akan memenuhi janji demi keselesaan skuad Harimau Malaya dalam masa setahun susulan pelbagai spesies rumput diuji oleh petugas PSM.

Katanya, ia termasuk pilihan merangsang pertumbuhan rumput di luar stadium untuk mendapatkan cahaya matahari dan kemudian memasang di dalam stadium beberapa hari sebelum perlawanan, yang turut membolehkan stadium berkenaan digunakan untuk aktiviti bukan bola sepak tanpa menjejaskan kualiti padang.

“Kita berusaha menjadikannya semakin baik… ini adalah proses berterusan dan kami akan bekerjasama dengan FAM untuk mempunyai sebuah padang yang disukai mereka.

“Ia mungkin mengambil masa setahun atau lebih. Sistem perparitan adalah baik tetapi cara stadium direkabentuk dan sistem pengalihan udara tidak banyak membantu.

“Bahkan kita juga akan meminta pakar bukan sahaja dari negara Barat tetapi juga dari negara-negara seperti Thailand dan Singapura untuk membuat analisa bebas bagi tujuan penambahbaikan.

“Buat masa ini, kita akan mempunyai jurang masa yang lebih panjang antara sebarang aktiviti bagi memastikan kualiti padang,” katanya pada sidang media di stadium berkenaan, pada Khamis.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian antara Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan PSM bagi menjadikan stadium berkenaan sebagai ‘ Rumah Harimau Malaya’ dengan semua perlawanan tempat sendiri skuad kebangsaan sepanjang kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 serta Piala Suzuki AFF 2020 berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Majlis tersebut disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

FAM diwakili oleh presidennya Datuk Hamidin Mohd Amin dan PSM oleh Tony.

Sementara itu, Syed Saddiq, dalam ucapan ringkas pada majlis itu berkata, PSM ditetapkan dua Petunjuk Prestasi Utama (KPI) iaitu tempat duduk bernombor di stadium berkenaan serta penjualan tiket dalam talian.

Dalam pada itu, Hamidin berharap dengan usaha mendirikan muzium Harimau Malaya dan juga kedai rasmi Harimau Malaya, stadium tersebut akan menjadi salah satu tarikan pelancong seperti Stadium Wembley dan Stadium Emirates di England.– BERNAMA