Malaysia Dateline

Tony, Kamarudin setuju bantu AirAsia sebagai penasihat

Tan Sri Tony Fernandes dan Datuk Kamarudin Meranun yang bersetuju melepaskan jawatan eksekutif  dalam AirAsia an AirAsia X berkuatkuasa serta-merta bersedia terus membantu AirAsia apabila diperlukan.

Tetapi bantuan itu dalam kapasiti sebagai penasihat.

Memetik laporan Malaysiagazette yang menyiarkan kenyataan bersama hari ini, mereka berkata, peletakan jawatan itu bagi memudahkan dan siasatan bebas dijalankan oleh AirAsia berhubung dakwaan salah laku oleh syarikat penerbangan tambang murah itu yang dikaitkan dalam siasatan oleh Serious Fraud Office (SFO) United Kingdom (UK) terhadap syarikat pembuat pesawat, Airbus.

Peletakan jawatan itu bagi tempoh dua bulan atau boleh dilanjutkan mengikut budi bicara Lembaga AirAsia sebagaimana yang dianggap sesuai berdasarkan keadaan semasa.

Tony merupakan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Bhd manakala Kamaruddin pula adalah Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad.

 Mereka yang menyambut baik sebarang siasatan yang dijalankan oleh pihak-pihak berkuasa kerana ia satu-satunya jalan untuk mereka mendapatkan keadilan dan akses kesaksamaan yang dinafikan dalam proses SFO sehingga kini.

“Kami akan memberi kerjasama penuh kepada mereka,” menurut mereka yang merujuk kepada Perjanjian Pendakwaan Ditunda yang dibuat oleh Airbus SE dan pejabat SFO pada 31 Januari 2020

Tony dan Kamarudin telah menafikan semua tuduhan salah laku sebagai eksekutif dan pengarah AirAsia.

Jelas mereka, Caterham F1, syarikat yang didakwa telah ditaja secara salah oleh Airbus, berada pada masa yang sesuai sebagai pasukan Formula 1 Racing yang melakukan promosi di seluruh dunia bersama-sama AirAsia, AirAsia X, GE dan Airbus.

“Sepanjang tempoh itu kami adalah pemegang saham di Caterham, syarikat yang tidak membuat keuntungan dan akhirnya dilupuskan pada harga 1 pound sterling pada tahun 2014.

“Dari awal hingga akhir ia semata-mata merupakan satu penjenamaan dan bukan penerokaan untuk membuat keuntungan,” tegas Tony dan Kamarudin.

Minggu lalu, satu penghakiman persetujuan yang dibuat mahkamah di United Kingdom terhadap Airbus yang menamakan AirAsia sebagai antara syarikat yang terbabit dalam aktiviti rasuah oleh Airbus bagi mendapatkan atau mengekalkan perniagaan mereka.

Sebagai balasan untuk penggantungan pendakwaan oleh SFO, Airbus telah bersetuju untuk membayar denda dan kos yang signifikan kepada SFO dan juga bersetuju dengan kenyataan fakta yang melibatkan para eksekutif AirAsia.

Tony dan Kamarudin berkata, siasatan oleh SFO yang dilaporkan mengambil masa empat tahun itu langsung tidak pernah diketahui mereka (atau AirAsia, seperti yang dinyatakan 1 Februari 2020) untuk sebarang penjelasan atau pengesahan.

Tindakan itu, tegas mereka adalah pelanggaran jelas prinsip asas dan akses kepada keadilan.