Tony Pua ‘aset’ penting kepada DAP, harap terus khidmat kepada parti, kata Anthony Loke

Oleh NASUHA RAHMAN

Tony Pua ‘aset’ penting kepada DAP justeru khidmat dan sumbangan beliau masih amat diperlukan membantu parti menghadapi segala cabaran di depan terutamanya PRU15, demikian menurut Setiausaha Agung Anthony Loke Siew Fook.

Anthony Loke berkata, beliau juga merupakan seorang pemimpin parti yang sangat komited dan sanggup mengambil tanggungjawab dalam tugasan yang sukar seperti mengetuai projek “Impian” di Sabah dan Sarawak.

“Sudah tentu, segala titik peluh beliau dalam isu 1MDB menyumbang sedikit sebanyak kepada kejayaan Pakatan Harapan dalam PRU14.

“Sebelum ini isu 1MDB difahami oleh kebanyakan rakyat Malaysia sekitar tahun 2016 dan 2017, beliau sanggup pergi ke seluruh pelusuk negara untuk memberikan pencerahan selagi ada pihak yang sudi menganjurkan acara ceramah atau forum.

“Sejak tahun 2008, beliaulah menjadi jurucakap DAP berkenaan Belanjawan tahunan Kerajaan Persekutuan. Dia tidak pernah bosan untuk menjelaskan setiap perincian Belanjawan setiap tahun kepada orang ramai melalui forum dan wawancara media ataupun kepada Ahli-ahli Parlimen DAP yang memerlukan penjelasan,” katanya.

Tony Pua 'aset' penting kepada DAP, harap terus khidmat kepada parti, kata Anthony Loke
Anthony Loke dilantik Setiausaha Agung DAP yang baharu

Tony juga katanya, amat lantang di Parlimen dengan membongkarkan pelbagai isu dan skandal yang melibatkan projek-projek Kerajaan. Saban hari, beliau akan membangkitkan pelbagai persoalan di dalam dan di luar Dewan.

Para wartawan di lobi Parlimen katanya tidak pernah jemu mendengar sidang media beliau kerana setiap kenyataan akhbarnya sarat dengan fakta dan angka yang tepat.

Justeru beliau meminta Tony Pua untuk terus memainkan peranan yang penting dalam parti kerana khidmat beliau masih diperlukan.

“Saya amat memahami perasaan kekecewaan beliau. Selepas 15 tahun menyumbang masa dan tenaga untuk perjuangan parti, sumbangan beliau seolah-olah tidak dihargai dalam pemilihan parti pada hari Ahad yang lalu.

“Namun, ini adalah asam garam dalam politik. Usaha kita tidak selalunya mendapat balasan yang setimpal mahupun dihargai.

“Keputusan perwakilan perlu diterima dengan hati yang terbuka seperti beliau nyatakan dalam kenyataannya semalam.

“Saya mengenali Tony secara dekat sejak tahun 2007 lagi selepas beliau dijemput untuk berucap di Retreat Kebangsaan DAP di Cameron Highlands dan seterusnya beliau menyertai DAP sebagai ahli.

“Beliau mula bertanding dalam PRU-12 pada tahun 2008 di kawasan Parlimen Petaling Jaya Utara dan berjaya memenangi kerusi tersebut untuk DAP dengan mengalahkan penyandangnya dari MCA, Chew Mei Fun.

“Saya pula memenangi kerusi Parlimen Rasah pada tahun tersebut dan kami memasuki Parlimen bersama-sama sebagai muka baru DAP di Dewan Rakyat. Kerusi beliau dalam Dewan adalah di belakang kerusi saya di Blok F,” ujarnya lagi.

Ahli Parlimen Damansara Tony Pua gagal mempertahankan kedudukan mereka dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP (CEC) pada pemilihan parti itu baru-baru ini.

Pua, yang juga Ketua Publisiti Kebangsaan DAP, memperoleh 744 undi.

Baca juga: https://malaysiadateline.com/sapura-rafizi-berjanji-akan-beri-maklum-balas-setiap-idea-songsang-najib/