Tony Pua cipta sejarah dalam PRU14

Tony Pua cipta sejarah dalam PRU14

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berjaya menempa nama dalam sejarah Pilihan Raya Umum (PRU) negara apabila mencatatkan majoriti paling besar di kerusi Parlimen Damansara pada edisi ke-14.

Dalam persaingan tiga penjuru pada kerusi yang sebelum ini dikenali Petaling Jaya Utara, Pua mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 106,903 undi dengan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) dari MCA, Ho Kwok Xheng dan calon PRM, Wong Mun Kheong.

Pua memperoleh 78 peratus daripada jumlah 136,280 pengundi atau 83 peratus yang keluar mengundi apabila memperoleh 121,283 undi manakala Ho mendapat 14,380 undi dan Wong hanya mendapat 617 undi.

Kerusi Parlimen Damansara juga merupakan kerusi yang menpunyai paling ramai pengundi berdaftar iaitu seramai 164,322 pemilih selepas kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya diluluskan Dewan Rakyat, Mac lepas.

Sementara itu, undi majoriti terkecil pula direkodkan di kerusi Parlimen Tasek Gelugor di Pulau Pinang apabila penyandangnya dari BN, Datuk Shabudin Yahaya hanya mampu mempertahankan kerusi itu dengan kelebihan 81 undi setelah meraih 18,547 undi.

COMMENTS

Wordpress (0)