Tony Pua mahu Nazri buktikan Malaysia bukan negara polis

Tony Pua mahu Nazri buktikan Malaysia bukan negara polis

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz perlu membuktikan bahawa Malaysia bukan negara polis seperti yang ditegaskan sebelum ini dengan meneruskan sahaja debat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tony PuaAhli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, kegagalan Nazri untuk berbuat demikian membuktikan Malaysia negara polis dan menunjukkan beliau tidak berpegang kepada kata-katanya.

“Malah, apa yang lebih penting, bukanlah bidang kuasa polis untuk enggan memberikan kebenaran sesuatu acara itu berlangsung. Berdasarkan Akta Perhimpunan Aman (2012), pihak penganjur perlu memberikan ‘notis’ 10 hari.

“Akta itu tidak memperuntukkan polis untuk berkata ya atau tidak terhadap satu-satu perhimpunan, lebih-lebih lagi acara yang diadakan dalam premis persendirian. Permit polis sebenarnya tidak perlu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas keputusan polis membatalkan permit kebenaran acara debat mengenai 1MDB yang menampilkan Nazri dan Mahathir yang kini merupakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Acara yang sepatutnya berlangsung di Kompleks Karangkraf, Shah Alam pada 7 April itu dibatalkan selepas pihak penganjur mendapat surat daripada polis untuk berbuat demikian.

Dalam surat kepada Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacob itu, polis memberi alasan acara debat tersebut dibatalkan ekoran mendapat bantahan penduduk setempat.

“Setelah dikaji dan ditimbang dari segi ketenteraman awam, dengan ini kelulusan permit Perhimpunan Aman rujukan 4/17 bertarikh 31/03/2017 adalah dibatalkan,” surat itu dipetik.

Surat ditandatangani Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Shafien Mamat.

Namun, menurut Tony Pua yang juga Setiausaha Publisiti DAP, Kompleks Karangkraf terletak di kawasan perindustrian, jauh dari kawasan penempatan.

Malah, katanya, adalah menjadi tugas polis untuk memastikan acara dialog atau debat itu diadakan dalam keadaan yang aman dan tenteram.

“Kebebasan untuk berhimpun dan berucap yang dijamin Perlembagaan tidak harus dinafikan oleh mereka yang merasa terancam dengan kebebasan berkenaan,” katanya yang juga Pengerusi DAP Selangor.

Ia merupakan kali kedua polis membatalkan permit kebenaran bagi acara debat Mahathir-Nazri. Sebelum ini, acara debat berkenaan yang dikatakan bakal berlangsung di Maktab Sains Kuala Kangsar pada 25 Mac dengan alasan yang sama.

Nazri hari ini menyalahkan pasukan keselamatan itu kerana membatalkan majlis berkenaan.

“Saya rasa ini masalah polis,” kata Nazri seperti dipetik Malaysiakini.

Secara berseloroh, Nazri berkata polis mungkin menganggap dirinya sebagai ancaman keselamatan dan ini mendorong mereka membatalkan perbahasan itu.

“Mahathir orang tua dan bukan ancaman langsung kepada keselamatan negara.

“Saya fikir saya punca polis batalkan (perbahasan), mungkin saya seperti gangster, saya tidak tahu,” katanya.

Beliau mencadangkan supaya polis sendiri menjadi penganjur kepada wacana itu dan mengadakannya di auditorium polis di Cheras.

TAGS