Malaysia Dateline

Top Glove peruntuk RM100 juta untuk ambil alih tanah

Pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia, Top Glove Corporation Bhd memperuntukkan RM100 juta bagi pengambilalihan tanah di negara ini, menurut Pengarah Urusannya Datuk Lim Kim Meow.

Beliau berkata pengambilalihan tanah tersebut akan digunakan untuk membina kilang dan mengembangkan perniagaan.

“Apabila kami merancang mengambil alih simpanan tanah baharu, kami mahu membeli (tanah) yang lebih luas. Bagaimanapun kami masih belum mengenal pasti (tanah) itu.

“Pembinaan kilang di Vietnam telah bermula. Perjanjian telah dibuat di sana, dan akan beroperasi pada suku pertama 2020,” katanya kepada pemberita di luar Invest Malaysia 2019.

Sebagai sebahagian daripada pengembangan perniagaan di luar negara, Top Glove telah melabur RM100 juta sebagai jumlah permulaan untuk mendirikan kilang baharu itu untuk mengeluarkan sarung tangan vinil.

Syarikat sarung tangan getah itu telah memperuntukkan perbelanjaan modal berjumlah RM400 juta bagi tahun ini.

Terdahulu, pada sesi taklimat, Lim berkata syarikat itu akan terus mengembangkan perniagaannya  walaupun berlaku lebihan bekalan dalam industri itu ketika ini.

“Kami menjangka pertumbuhan hasil adalah sekitar lapan peratus sehingga 10 peratus. Bagi keuntungan, purata margin adalah pada 9.5 peratus.

“Dalam industri ini, anda perlu berkembang dan mencari jalan untuk mencapai pertumbuhan seumpama itu. Ada yang daripada perniagaan sedia ada, sebahagian lagi daripada perniagaan baharu memandangkan kami telah terlibat dengan perniagaan baharu baru-baru ini termasuk percetakan, perniagaan kimia dan Aspion Sdn Bhd yang baru diambil alih,” katanya.

Top Glove membelanjakan RM1.37 bilion untuk mengambil alih Aspion, melibatkan segmen sarung tangan pembedahan. Aspion dijangka mencatatkan keuntungan bagi suku kedua tahun kewangan 2019 berbanding kerugian RM4 juta pada suku pertama tahun kewangan 2019.

Mengulas mengenai perniagaan kondom Top Glove, Lim berkata syarikat itu sedang menunggu pensijilan daripada Jepun, Eropah dan China disebabkan kondom adalah produk kategori khusus.

“Pada asasnya, kami mahu mematuhi peraturan dan akan menerima beberapa sijil ini pada suku ketiga 2019.

“Walaupun barisan pengeluaran hanya satu berbanding 645 bagi sarung tangan, kami menyifatkan perniagaan itu sebagai perniagaan pelengkap kepada pelanggan. Pensijilan itu adalah perlu sebelum tender ditawarkan di pelbagai negara,” katanya.

Kilang kondom Top Glove yang terletak di Klang dengan kapasiti pengeluaran 100 juta keping bagi setiap tahun telah memulakan pengeluarannya dengan kelompok pertama hanya dijual di bawah segmen pasaran pengeluar peralatan asal.

— BERNAMA