Malaysia Dateline

Topeng muka, cecair pembasmi kuman sukar diperoleh

Rata-rata orang ramai memberitahu mereka sukar mendapatkan bekalan topeng muka tiga lapisan dan cecair basmi kuman (hand sanitizer) ketika kes jangkitan Covid-19 semakin meningkat.

Tinjauan Malaysia Dateline sekitar Bukit Sentosa di Hulu Selangor hari ini mendapati beberapa farmasi meletakkan notis di pintu masuk premis memaklumkan tentang kehabisan kedua-dua bekalan tersebut.

Apabila ditanya bila bekalan stok baru bagi kedua-dua barangan itu sampai, pihak farmasi sekadar menjawab tidak tahu.

Kesukaran memperoleh kedua-dua barangan cegah jangkitan virus berbahaya itu dibimbangi lantaran Perintah Kawalan Pergerakan baru memasuki hari kedua hari ini.

Topeng muka termasuk dalam kategori harga terkawal mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Pada 14 Februari lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasition Ismail memberitahu topeng muka di negara ini datang dari dua punca iaitu melalui import seperti dari Eropah, Amerika Syarikat, China, Singapura dan sebagainya serta dari pengeluar dalam negara.

Katanya, kerajaan telah meminta lima pengeluar topeng muka terbesar tempatan menambah pengeluaran topeng muka tiga lapisan bagi menangani masalah kekurangan bekalan yang sedang berlaku.

Jelasnya, berdasarkan rundingan yang diadakan, terdapat pengeluar tempatan berupaya mengeluarkan sehingga 100,000 unit topeng muka jenis itu dalam tempoh seminggu.

Terdapat juga pengeluar tempatan terbabit, tambahnya, yang sudah mempunyai bekalan sedia ada dalam kuantiti sehingga 200,000 unit.

Walau bagaimanapun, masalah rakyat untuk mendapatkan topeng muka terus berlaku ketika jumlah jangkitan Covid-19 meningkat sehingga 900 kes setakat hari ini.

Sehubungan itu, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) digesa mencari jalan penyelesaian bagi memastikan bekalan topeng muka tiga lapisan dan cecair basmi kuman mencukupi.