Malaysia Dateline

Topeng muka: Menteri Pengguna umum naik harga, Menteri Kanan mahu turun pula

Selepas tiga hari, harga siling bagi topeng muka tiga lapis diumum naik kepada RM2, kerajaan mahu menurunkan paras harga barang keperluan dalam berdepan wabak Covid-19 itu pula.

Menteri Kanan yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan mendapati kadar RM2 ketika ini terlalu tinggi.

“Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan berbincang pagi esok, supaya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna melihat semula kadar harga berkenaan.

“Kerajaan mahu ia diturunkan lebih banyak lagi, tiada sebab harga dinaikkan kerana kerajaan sudah setuju menghapuskan duti import topeng muka,” tegasnya dalam sidang media selepas mesyuarat MKN, hari ini.

Kerajaan juga, kata Ismail Sabri, akan melihat kedudukan harga dan bekalan produk keperluan pengguna bagi tujuan penjagaan kesihatan seperti cecair pembasmi kuman.

Jelasnya, kerajaan membiayai sepenuhnya tempahan 10 juta topeng muka dari China bagi tujuan kegunaan petugas barisan hadapan selain lebihannya untuk agihan di kawasan berisiko tinggi.

Lima pengeluar

Pada 19 Mac lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, langkah menaikkan harga siling bagi topeng muka kepada RM2 berbanding 80 sen sebelum ini kerana kekurangan bahan memproses serta berlaku kenaikan harga pada bahan asas.

Sehubungan itu, bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam reaksinya membantah kenaikan harga siling untuk topeng tersebut.

“Terlalu tinggi pada saat bekalan sukar diperolehi. Ini membebankan rakyat dan rakyat mungkin memilih tidak membeli kerana harga mahal dan keadaan ini menyebakan usaha kerajaan membendung Covid-19 akan menempuh kegagalan,” katanya.

Ketika menerajui KPDNHEP sebelum ini, Saifuddin memberitahu kerajaan telah meminta lima pengeluar topeng muka terbesar tempatan menambah pengeluaran topeng muka tiga lapisan bagi menangani masalah kekurangan bekalan yang berlaku.

Pada 14 Februari itu, beliau berkata, mengikut rundingan yang diadakan, ada pengeluar tempatan berupaya mengeluarkan sehingga 100,000 unit topeng muka jenis itu dalam tempoh seminggu.

Terdapat juga pengeluar tempatan terbabit, tambahnya, yang sudah mempunyai bekalan sedia ada dalam kuantiti sehingga 200,000 unit.